KUCHING, 22 Mei: Kerajaan Sarawak akan terus memperjuangkan isu sekolah daif yang sudah lama berlarutan di negeri ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, kerajaan negeri melalui kementerian yang diterajui oleh beliau akan terus berusaha untuk menyelesaikan isu berkenaan walaupun bidang kuasa perkara itu terletak di bawah Kerajaan Persekutuan.
“Kuasa selia perkara ini masih terletak pada Kementerian Pendidikan (KPM) dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak sebagai agensi pelaksana.
“Namun, kita tidak boleh melepaskan diri daripada tanggungjawab yang berat ini dan akan terus melibatkan diri dalam usaha tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Katanya, usaha untuk menyelesaikan isu berkenaan oleh kementeriannya telah mula dilaksanakan sejak 2017.
Sementara itu, Roland Sagah turut memberitahu bahawa Sarawak giat untuk mendapatkan autonomi pendidikan.
“Autonomi pendidikan Sarawak hanya terhad kepada Fasal 17, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 yang menyebut Sarawak dan Sabah diberi kuasa untuk menentukan dasar sistem pendidikannya sendiri walaupun pendidikan adalah perkara di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
“Kita akan terus bekerjasama dengan Jawatankuasa MA63 untuk memperjuangkan perkara ini.
“(Semestinya) kita tidak meminta lebih atau kurang daripada perkara yang telah ditetapkan dalam Fasal 17 Laporan IGC,” tegasnya.
Sebelum ini KPM mengesahkan bahawa 79 peratus sekolah daif di seluruh negara berada di Sarawak dan Sabah. -TVS