KUCHING, 22 Mei: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menaiki pesawat yang dikuasakan bahan api penerbangan mampan (SAF) berasaskan alga yang dihasilkan di Sarawak bagi menghadiri Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23).
Abang Johari berkata, usaha Sarawak mengeluarkan SAF bertujuan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan kebergantungan kepada bahan bakar fosil.
“Penghasilan SAF ini merupakan hasil kerjasama PETRONAS dengan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).
“Saya berpendapat Sarawak mempunyai masa depan yang sangat cerah untuk mengeluarkan SAF kerana kita mempunyai cuaca yang sesuai,” katanya.
Abang Johari berkata demikian selepas menyaksikan proses pengisian bahan bakar SAF ke dalam pesawat jenis Airbus A220-300 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) di sini hari ini.
Pesawat Airbaltic A220-300 yang dinaiki Abang Johari itu berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi sekitar pukul 1.45 petang tadi.
Berkenaan potensi sektor itu di Sarawak, Abang Johari berkata, beberapa syarat perlu dipatuhi dalam pengeluaran minyak mikroalga.
“Kita memerlukan cahaya matahari yang mencukupi, karbon dioksida dan iklim yang bersesuaian.
“Sarawak amat bertuah kerana mempunyai garis pantai yang agak panjang.
“Teknologi ini menggunakan air laut, maknanya kita dapat mengeluarkan minyak mikroalga,” tambahnya.
Sehubungan itu, melalui inisiatif tersebut, Abang Johari berkata bahawa Sarawak bersedia untuk memanfaatkan potensi besar dalam sektor industri hijau dalam memacu ekonomi hijau yang selamat, bersih dan berpatutan. – TVS