KUALA LUMPUR, 21 Mei: Pemain boling kebangsaan, Syafiq Ridhwan Abdul Malik dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman muncul naib juara pada Kejohanan Boling Terbuka Filipina kali ke-4 di Manila, hari ini.
Syafiq, 36, yang mara ke final sebagai pilihan utama, tewas 175-248 kepada Darren Ong dari Singapura.
Seorang lagi pemain, Ahmad Azriq Izamudin menduduki tempat ketiga selepas kalah 203-279 kepada Darren pada separuh akhir.
Sementara itu, pada peringkat akhir wanita, Siti Safiyah kehilangan gelaran kepada wakil tuan rumah, Marie Alexis Sy, selepas tumbang 216-279.
Pemain berusia 32 tahun itu mara ke final selepas menyingkirkan pemain Singapura, Jazreel Tan Shi Hua 209-191.
Pada Jumaat, pemain muda negara Syabil Azam Syamsul Azam dan Nurul Anis Nabila Nizam masing-masing merangkul gelaran terbuka remaja lelaki dan wanita. -TVS