KUCHING, 21 Mei: Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkongsi momen terlibat mengadakan persembahan sempena perasmian Sambutan Minggu Perpaduan 2023 di sini hari ini.
Menerusi Instagramnya, Siti Nurhaliza berkata, beliau tidak mahu melepaskan peluang selepas ditawarkan membuat persembahan di Sarawak.
“Setelah sekian lama tidak hadir ke sini, saya kembali dan bekerjasama dengan artis pelbagai bangsa untuk menyampaikan lagu berjudul Sama Sama Kita,” katanya.
Pada hantaran berkenaan, penyanyi lagu Nirmala itu turut memuat naik gambar bersama Bob Yusof, Jaclyn Victor, Stacy dan beberapa penyanyi lain yang turut terlibat dengan persembahan berkenaan.
Perasmian diserikan dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Pada malam ini, penyanyi berkenaan akan turut melakukan persembahan sempena Konsert Malam Irama Sambutan Minggu Perpaduan 2023 di Kuching Waterfront. -TVS