HIROSHIMA, Jepun, 21 Mei: Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol dan Presiden Indonesia, Joko Widodo mengadakan pertemuan pada Ahad dan membincangkan usaha untuk memperkukuh kerjasama ekonomi, lapor Yonhap yang memetik pejabat Yoon.
Kedua-dua pemimpin itu bertemu di luar Sidang Kemuncak Kumpulan Tujuh (G-7), dengan Yoon menyatakan kegembiraannya terhadap kemajuan yang dicapai oleh kedua-dua negara dalam pelbagai projek sejak pemimpin Indonesia itu melawat Korea Selatan Julai lepas, menurut jurucakap presiden Lee Do-woon.
Yoon juga berterima kasih kepada Widodo atas minat dan sokongannya dalam memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelaburan, infrastruktur dan pertahanan.
Beliau berkata Korea Selatan mengutamakan kerjasama dengan Indonesia sebagai rakan kongsi utama dalam pembangunan industri masa depan dan meminta Widodo menyokong perniagaan Korea Selatan yang melabur di Indonesia.
Menurut Widodo,  hubungan dua hala itu sangat penting kepada negaranya dan meminta pelaburan dan kerjasama aktif Korea Selatan dalam pembangunan berkaitan pertanian, ekosistem kenderaan elektrik, sistem maklumat dan komunikasi serta reaktor modular kecil di Indonesia.
Kedua-dua negara menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik mereka tahun ini. -TVS