KEPALA BATAS, 21 Mei: Ibu pendaki orang kelainan upaya (OKU), Muhammad Hawari Hashim, 33, yang dilaporkan hilang sejak Jumaat selepas menawan puncak Everest di Himalaya berharap anaknya ditemui selamat.
Pengarah APM Kedah meninggal dunia ketika misi pendakian Everest
Che Tom Hassan, 64, berkata, dia mengetahui kejadian menimpa Muhammad Hawari yang merupakan peserta Malaysia Everest 2023 (ME 2023) menerusi Facebook semalam.
Ujar Che Tom, dia terkejut dengan berita yang diketahui kira-kira pukul 11 pagi itu kerana baru sahaja menerima perkhabaran kejayaan anaknya menawan puncak tertinggi dunia itu pada Rabu lalu lepas.
“Kami sekeluarga hanya ikuti segala perkembangannya di Facebook termasuklah berita dia berjaya menawan puncak Everest.
“Masa dia nak pi (pergi), dia minta doakan dan minta jangan susah hati. Mak cik minta satu Malaysia untuk mendoakan dia sebab mak cik tak dapat hubungi dia langsung,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Permatang Kerai Besar di sini hari ini.
Sementara itu, dengan nada sebak, Che Tom berkata, dia berharap Muhammad Hawari dapat dikesan segera kerana dia mengenakan jam tangan yang dilengkapi sistem penentu kedudukan global (GPS).
Terdahulu, media melaporkan Muhammad Hawari yang merupakan OKU pekak dan bisu dikhuatiri hilang di kawasan pergunungan Everest ketika turun dari Kem 4 selepas.
Anak ketiga daripada lima beradik tersebut dipercayai hilang ketika menuju ke Kem 3 selepas berjaya menawan puncak Gunung Everest yang berketinggian 8,848 dari paras laut, pada Khamis.
ME 2023 yang bermula awal April lepas turut disertai antaranya ketua ekspedisi yang juga bekas pendaki Everest 2016, Azim Afif Ishak dan Vincent Tiong Ling Yang.
Turut menyertai misi kumpulan pertama pendaki ialah Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah, Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, yang meninggal dunia selepas terjatuh ketika melakukan pendakian pada ketinggian 8,000 meter. – TVS