SIBU, 20 Mei: Jangan mengambil sikap endah terhadap keadaan cuaca semasa serta masyarakat diingatkan agar mengurangkan aktiviti di luar yang terdedah dengan cahaya matahari secara langsung susulan Sibu kini berstatus panas tahap 1 (Berjaga-jaga).
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata status sekitar 35 hingga 37 darjah celsius di sini ini dilaporkan selama tiga hari berturut-turut selain ribut petir yang biasanya berlaku pada waktu petang.
“Ini kerana cuaca panas melampau boleh menyebabkan kelesuan haba (heat exhaustion) dan yang lebih teruk lagi diserang strok haba (heat stroke),” Â katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Raya, Gawai dan Keamatan di padang kawad Ibu-pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu pada Jumaat.
Justeru itu, beliau menyeru agar orang ramai sentiasa berwaspada dan mengutamakan kesihatan berikutan cuaca semasa yang tidak menentu.
Dalam perkembangan lain, Zulkipli menyifatkan majlis semalam sebagai platform paling efektif untuk mengeratkan ukhuwah antara polis dan orang awam yang merupakan mata dan telinga Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam mengekalkan ketenteraman dan keharmonian di bandar ini.
“Hakikatnya, keupayaan kita untuk meyantuni dan menghormati kepelbagaian dalam masyarakat serta keharmonian hubungan sesama kita adalah kunci yang mendasari kesejahteraan masyarakat madani,” katanya.
Majlis tersebut dihadiri oleh pelbagai jenis lapisan masyarakat daripada kaum dan etnik seperti Melayu, Cina, India, Iban, Melanau, Bidayuh, Kadazan Dusun dan lain-lain yang mencerminkan ketenteraman masyarakat di Sibu. – TVS