Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang. Foto: TVS

Sarawak harmoni, lokasi tepat sambutan Minggu Perpaduan 2023 – Aaron Ago

ByFebbright James

KUCHING, 20 Mei: Sarawak sebagai tuan rumah sambutan Minggu Perpaduan 2023 Peringkat Kebangsaan amat tepat kerana negeri ini sinonim dengan keutuhan hubungan dalam kalangan rakyatnya yang harmoni.

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata pemilihan lokasi bersandarkan Sarawak terkenal sebagai negeri yang memiliki nilai perpaduan yang lahir dalam kepelbagaian masyarakat berbilang kaum, agama dan bangsa di sini.

 

Persiapan sambutan Minggu Perpaduan 2023 berjalan lancar

“Kementerian mahu melaksanakan program untuk mengajak rakyat kita berinteraksi antara satu sama lain dan bersatu padu agar saling memahami daripada segi agama dan budaya.

“Jadi pada awalnya kita merancang sama ada mahu melaksanakan Hari Perpaduan, atau Minggu Perpaduan ataupun Bulan Perpaduan. Setelah perbincangan kita bersetuju bahawa seminggu sudah memadai dan kita mengumumkannya sebagai Minggu Perpaduan.

“Dari segi pemilihan lokasi, jawatankuasa telah bersetuju untuk memulakan program ini di Sarawak atau Sabah kerana dari segi perpaduan dan keharmonian, kedua-dua negeri ini memiliki elemen tersebut yang sudah lama terbentuk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual menerusi program Dialog TVS baru-baru ini.

Menurutnya perpaduan dan toleransi dalam kalangan masyarakat sememangnya penting bagi memastikan pembangunan di sesebuah negara dapat dilaksanakan dengan baik.

“Sekarang antara fokus kementerian adalah untuk memastikan rakyat betul-betul memahami dan mengamalkan prinsip rukun negara kerana ia nya sememangnya memiliki makna yang besar dalam mengekalkan kesejahteraan dan perpaduan rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mengulas mengenai sambutan Minggu Perpaduan 2023 kali ini yang akan dimeriahkan dengan pelbagai program dan aktiviti menarik berkonsep mendekati rakyat.

“Acara yang melibatkan penyertaan orang ramai seperti Unity Run, Battle of The Band, Pekit Kumang berlangsung mulai hari ini.

“Kita juga akan berusaha untuk mencatat rekod dalam Malaysian Books Of Record menerusi himpunan individu mengayakan pakaian tradisional etnik terbanyak yang akan dipertontonkan di sepanjang Jambatan Darul Hana,” Katanya lagi.

Paling istimewa katanya sebuah lagu yang diilhamkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertajuk ‘Setia Perpaduan’ akan dilancarkan esok sekali gus baginda berkenan merasmikan sambutan Minggu Perpaduan 2023 Peringkat Kebangsaan.

“Kita juga ada lagu Kementerian Perpaduan yang akan didendangkan oleh penyanyi nombor satu negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza.

Untuk rekod, sambutan Minggu Perpaduan 2023 di Tebingan Kuching akan bermula hari ini, 20 hingga 26 Mei 2023.- TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan