KUCHING, 20 Mei: Pusat latihan dan Pertandingan Wushu Sarawak dijangka siap pada Julai 2024 iaitu diharapkan menjelang penganjuran temasya SUKMA.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah optimis terhadap komitmen tinggi pihak kontraktor terlibat berjaya menyiapkan projek itu dalam tempoh satu tahun sambil mengakui perkara itu bukan suatu kerja yang mudah.
“Tetapi jika mereka tidak mampu, saya memahami kerana untuk membina bangunan sebesar ini dalam tempoh satu tahun bukanlah perkara yang mudah. Kebiasaannya mereka akan diberi kontrak selama dua tahun untuk melaksanakannya.
“Jika mereka boleh melakukannya dalam tempoh satu tahun, saya pasti akan berasa sangat kagum dengan mereka. Saya mengenali mereka dan percaya jika diberi cabaran seperti ini, mereka boleh melaksanakannya dalam tempoh satu tahun,” kata beliau.
Beliau berkata demikian dalam satu sesi sidang media di Majlis Pecah Tanah untuk Pusat Latihan dan Pertandingan Wushu di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu Abdul Karim berkata jika pusat itu tidak dapat disiapkan sebelum SUKMA, pihaknya sudah menetapkan pelan alternatif untuk isu berkenaan.
“Kalau ia tidak dapat disiapkan dan digunakan untuk SUKMA, kita mempunyai perancangan lain. Sebenarnya kita telah pun mengenal pasti lokasi lain sekiranya bangunan ini tidak dapat disiapkan.
“Bagi acara lain yang akan dipertandingkan pada SUKMA, kita telah mengenal pasti lokasinya,” kata Abdul Karim.
Pusat Latihan dan Pertandingan Wushu yang menelan kos sebanyak RM11.3 juta bakal dibina di tapak seluas 3.1 ekar serta dilengkapi dengan ruang parkir.
Ia turut akan dilengkapi dengan dua tapak latihan berkarpet, sebuah trek larian, kawasan luar untuk memanaskan badan, ruang tempat duduk yang boleh memuat seramai 800 orang dan pentas.- TVS