Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Fadillah sebaik tiba di Limbang memeriahkan Pesta Badudun dan Lumba Kerbau 2023 di Kampung Lubok Sigantang. Foto: TVS

Proses tender terpilih, kaedah percepat bangunkan SSLR – TPM Fadillah

LIMBANG, 20 Mei: Kerajaan sedang mengenal pasti pendekatan terbaik untuk mempercepatkan perlaksanaan projek Rangkaian Jalan Raya Sarawak Sabah (SSLR) melalui kaedah tender terpilih (selective tender).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, satu perjumpaan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal diadakan untuk memperincikan kaedah-kaedah perlaksanaan bagi mempercepatkan pembinaan SSLR.

Fadillah di Pesta Badudun dan Lumba Kerbau 2023 di Kampung Lubok Sigantang.Foto: TVS

Beliau berkata pada masa ini kerajaan menggunakan tender antarabangsa untuk melaksanakan projek berkenaan ekoran itu proses tender akan mengambil masa setahun.

“Saya bersama dengan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi akan terus memantau untuk memastikan projek ini akan terus dilaksanakan secepat mungkin.

“Malahan saya sedang mengatur sekali lagi perjumpaan bersama Perdana Menteri untuk memperincikan kaedah-kaedah perlaksanaan bagaimana kita nak percepatkan kalau tender ini terpaksa dilaksanakan secara antarabangsa.

“Tempoh paling cepat proses tender itu akan mengambil masa satu tahun. Jadi ini yang kita hendak elakkan dan sedang mencari kaedah supaya dapat dipercepatkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Badudun dan Lumba Kerbau 2023 di Kampung Lubok Sigantang, Limbang, pada Sabtu.

Turut sama ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Residen Bahagian Limbang, Yunus Tambi, Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal dan Pengerusi Persatuan Melayu Limbang (PML), Mohamad Abu Bakar.

Jelas Fadillah lagi, pihaknya juga bersama Alexander Nanta sedang memperincikan keadah tender terpilih untuk mempercepatkan projek itu kepada Kementerian Kewangan supaya kontraktor tempatan akan berpeluang untuk terlibat sama dalam kerja pembinaan SSLR.

“Kaedah perlaksanaan kalau ikut perbincangan saya dengan Alexander Nanta dan Perdana Menteri, beliau hendak mempercepatkan menggunakan kaedah tender terpilih (selective tender) cuma dari segi Kementerian Kewangan (MOF) ada sedikit cabaran sebab bila kita sudah menandatangani Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), iaitu perjanjian perdagangan dalam rantau negara dunia ini jadi kita juga kena membuka tawaran mana-mana projek yang bernilai lebih daripada RM370 juta juga dibuka tawaran secara tender terbuka kepada negara-negara menjadi anggota CPTPP itu.

“ Jadi ini yang menjadi cabaran dan sedang diperincikan oleh MOF bagaimana kaedah untuk kita boleh keluar dari landasan tersebut supaya kontraktor tempatan akan dapat juga mengambil peluang,” ujarnya.

Sementara itu katanya, peruntukan bagi pembinaan Lebuh Raya Trans Borneo sudah diluluskan dan ia nya menjadi pilihan kepada rakyat di utara Sarawak sama ada melalui Brunei ataupun mengggunakan SSLR tanpa melalui negara jiran, Brunei Darusslam apabila siap kelak.

Malah katanya, kerajaan amat memahami kesukaran dan cabaran yang dilalui rakyat di utara Sarawak yang terpaksa menggunakan passport untuk melalui negara jiran selain berdepan masalah lain. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan