KUCHING, 20 Mei: Beberapa menara telekomunikasi yang telah siap dibina oleh Sarawak Multimedia Authority (SMA) dan Sarawak Digital Economy Corporation Berhad (SDEC) namun tidak berangkaian telah menghampakan rakyat terutama di kawasan pedalaman Sarawak, kata Fahmi Fadzil.
Sehubungan itu, Menteri Komunikasi dan Digital itu telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengadakan perbincangan dengan semua wakil syarikat telekomunikasi untuk menyelesaikan masalah ‘network sharing’ bagi menara yang telah siap dibina namun belum beroperasi.
Menurutnya pada Jun ini beberapa perjanjian persefahaman akan dicapai termasuk dari aspek komersial antara semua syarikat telekomunikasi terbabit selain berharap ia mampu menyelesaikan permasalahan telekomunikasi terutama di kawasan pedalaman Sarawak.
“Setelah 2 hari dari semalam dan hari (melakukan lawatan kerja) saya dapati ada beberapa perkara yang boleh kita selesaikan segera.
“Ada beberapa ikhtiar yang kita akan laksanakan. Saya telah minta MCMC untuk mengadakan pertemuan dengan semua syarikat telekomunikasi supaya dapat diputuskan satu jalan ke depan dengan keterlibatan syarikat-syarikat telekomunikasi ke atas menara-menara yang dibina oleh SMA dan SDEC,” katanya.
Fahmi berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) 2023 disebuah pusat membeli belah terkemuka di sini, pada Sabtu.
Antara yang hadir Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Liwan Lagang, Ketua Setiausaha Kementerian Telekomunikasi dan Digital Datuk Mohammad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Dato’ Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus.
Terdahulu dalam ucapan aluan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi memaklumkan sebanyak 600 Menara Telekomunikasi Luar Bandar Lembaga Multimedia Sarawak (SMART) 4G dibina kerajaan negeri menerusi SMA dan SDEC di seluruh Sarawak namun hanya 70 menara SMART sahaja yang berfungsi sepenuhnya.
Tegasnya pembinaan menara tersebut perlu ekoran masyarakat luar bandar juga berhak mendapat kemudahan telekomunikasi dan rangkaian internet sama seperti masyarakat di bandar.
“Kita mensasarkan 55 lagi menara ini akan beroperasi menjelang Hari Gawai dengan jumlah keseluruhan menara yang berfungsi sepenuhnya adalah 125 buah menara,” Katanya. – TVS