LIMBANG, 20 Mei: Perkeso melaksanakan Bulan Pemutihan kali ini menetapkan majikan yang gagal mendaftarkan pekerja mereka bakal berdepan kompaun sehingga RM5,000 dan didakwa mengikut kesalahan berkaitan.
Pengurus Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Limbang, Siti Saharah Tair berkata, Â Bulan Pemutihan diadakan pada Mei ini hingga 30 Jun depan merupakan peluang bagi para majikan mendaftarkan pekerja mereka secara sukarela.
Oleh yang demikian, Katanya para majikan perlu mengambil peluang untuk mendaftarkan pekerja yang digajikan untuk operasi perniagaan.
“Justeru, Perkeso menyeru semua majikan yang layak dan masih belum mendaftar dan mencarum untuk pekerja supaya segera berbuat demikian secara sukarela.
“Kegagalan majikan mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka merupakan satu kesalahan yang boleh dikompaun sehingga RM5,000 dan pendakwaan mengikut kesalahan yang dilakukan,” katanya kepada TVS pada Jumaat.
Dalam pada itu, katanya dianggarkan terdapat kira-kira 600 majikan berdaftar di bahagian Limbang dan pihaknya mensasarkan lebih kurang 60 majikan mendaftar dalam tempoh Bulan Pemutihan tersebut.
Siti Saharah mendedahkan selepas Bulan Pemutihan, Perkeso akan melaksanakan Ops Kesan 2023 bermula Julai ini selaras dengan kerangka Malaysia MADANI oleh kerajaan, bagi memastikan pekerja dalam negara, tidak kira domestik atau asing, mendapat perlindungan keselamatan sosial.
“Ops Kesan bertujuan memastikan semua majikan menggajikan sekurang-kurangnya seorang pekerja (tanpa mengira jumlah gaji) mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka sebagaimana peruntukan Seksyen 4 dan 5 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) serta Seksyen 14 dan 16 Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800),” jelasnya.-TVS.