BINTULU, 20 Mei: Seramai 19 penghuni tinggal sehelai sepinggang apabila lima buah rumah teres satu tingkat di Lorong 2, Jalan Abang Yusuf, Tanjung Kidurong di sini musnah dalam kebakaran petang tadi.
Dalam kejadian jam sekitar 2.00 petang itu, kesemua rumah teres yang terlibat berstruktur kekal musnah 100 peratus terbakar.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5 Bintulu, Penguasa Kanan Bomba (PgKB 1), Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata pasukan keluaran pertama dengan kekuatan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong telah dikejar ke lokasi yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari balai.
Menurutnya pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 2.03 petang.
“Setiba di lokasi, anggota kami telah bertindak menggunakan teknik ‘offensive’ dan ‘defensive’ dengan membentang 2 aliran 400 kaki 4 nozel sumber air dari pili bomba dan pam jentera ‘water tanker‘ secara ‘relay pumping‘ sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Tambah beliau, usaha pemadaman turut terjejas selepas pasukan bomba yang terlibat menghadapi masalah tekanan air manakala pili bomba berhampiran tempat kejadian didapati telah dirosakkan.
“Namun begitu, pasukan bomba telah bertindak sedaya upaya untuk memadamkan kebakaran sehingga api berjaya dikawal pada jam 2.51 petang,” ujarnya.
Pasukan pemadaman kemudian melakukan kerja-kerja ‘overhaul’ bagi memastikan tiada lagi nyalaan dan punca api.
Punca kerugian masih dalam siasatan katanya operasi turut disertai oleh 14 anggota dan jentera dari BBP Bintulu.
Turut serta dalam operasi itu, pasukan  Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Sementara itu, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kidurong diisytiharkan dibuka pada jam 5.15 petang bagi menempatkan mangsa kebakaran terbabit di MLNG Housing Estate yang berhampiran tempat kejadian. – TVS