BEKENU, 20 Mei: Hari Raya Aidilfitri serta perayaan lain yang diraikan bersama oleh rakyat negeri ini mengukuhkan lagi perpaduan, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Menurutnya aktiviti berlanggar meja, ramah-tamah dan berkunjung antara satu sama lain meningkatkan nilai hormat-menghormati apabila ia diraikan bersama tetamu yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa.
“Aktiviti berlanggar meja, majlis ramah tamah dan kunjung-mengunjung adalah satu amalan yang akan dapat meningkatkan lagi kerjasama dan pemahaman kita sesama masyarakat.
“Ini akan terus dapat meningkatkan lagi rasa hormat-menghormati dan saling toleransi antara satu sama lain.
“Perbezaan dari pelbagai aspek bukanlah satu masalah dan kelemahan tetapi ia adalah satu kekuatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Melanggar Meja dan Ramah-Tamah Aidilfitri Daerah Subis 2023 di Dewan Terbuka Arena Sibuti, Pekan Bekenu di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan ilmu pengetahuan dan pendidikan dalam kalangan rakyat selain melibatkan diri dalam kegiatan perniagaan agar tidak terpinggir dalam perubahan.
“Saya ingin menyeru supaya kita untuk mengangkat martabat darjat kita iaitu meningkatkan lagi kesejahteraan hidup masyarakat.
“Kita harus menumpukan kepada kepentingan ilmu pengetahuan dan pendidikan agar kita tidak terpinggir kerana kita mahu menjadi penggerak kepada usaha untuk membawa perubahan.
“Apabila kita dapat meningkatkan taraf hidup kita dengan infrastruktur yang sedia ada, ia membolehkan kita membuka tanah untuk melakukan aktiviti ekonomi seperti melibatkan diri dalam perusahaan dan perniagaan,” katanya lagi.
Terdahulu sebanyak 55 buah gerai makanan terlibat di dalam majlis tersebut yang disediakan oleh 44 buah kampung dan 11 agensi dari seluruh daerah Subis.
Majlis turut diserikan dengan beberapa pertandingan diadakan seperti Pertandingan Gerai Makanan Tercantik, Pertandingan Makanan Tradisi Paling Unik dan Sedap, dan Pertandingan Gubahan Buah.-TVS