KUCHING, 19 Mei: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib akan menghadiri Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Peringkat Sarawak 2023 di Miri pada Jun ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata sambutan pada 4 dan 5 Jun itu juga akan dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isterinya, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
“Sambutan akan diadakan selama dua hari iaitu 4 dan 5 Jun. Majlis kesyukuran akan diadakan di Masjid At-Taqwa pada 4 Jun, manakala Majlis Jamuan Teh di Pullman Miri Waterfront pada 5 Jun,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Tun Taib di kediamannya di Demak Jaya di sini, hari ini.
Kim Shin yang mengetuai kunjungan hormat bersama ahli-ahli jawatankuasa sambutan berkenaan berkata majlis kesyukuran akan dimulakan dengan solat berjemaah, bacaan Yassin, zikir marhaban dan doa selamat.
Manakala acara jamuan teh turut diselitkan dengan tayangan video khas serta upacara memotong pulut kuning. – TVS
Turut serta dalam kunjungan hormat berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datu Hii Chang Kee, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala. – TVS