SIBU, 19 Mei: Seorang remaja maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 21, Jalan Sibu-Bintulu berhampiran sebuah sekolah menengah di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian jam 8.10 pagi itu mangsa dikenali sebagai Celtic Owen Gregory, 20, maut ditempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata kemalangan membabit dua buah kenderaan ketika mangsa menunggang motosikal berseorangan dalam perjalanan dari Stapang menghala ke arah bandar ini.
Menurutnya siasatan awal mendapati penunggang motosikal terbabit telah dirempuh sebuah pacuan empat roda yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 48 tahun yang bergerak dari arah Sibu ke Bintulu.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal telah mengalami cedera parah di bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Ambulans Hospital Sibu manakala pemandu pacuan empat roda terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan awal mendapati ketika kemalangan, hanya sebelah laluan jalan raya dibuka kepada pengguna dan kenderaan empat roda tersebut dipercayai memasuki laluan arah bertentangan motosikal mangsa,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Zulkipli berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sibu untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, jurucakap APM Selangau memberitahu mangsa merupakan anggota sukarela APM Selangau.
“Celtic telah berkhidmat dengan APM Selangau sebagai anggota sukarela sejak 15 Januari tahun ini dan berasal dari dari Rumah Wan Lanting, Pulau Danau Kilometer 49 Stapang, Selangau.
“Daripada maklumat yang diperoleh, mangsa sedang dalam perjalanan untuk mengunjungi datuknya di Sibu semasa kejadian,” katanya. -TVS