KUCHING, Mei 19: Ahli farmasi runcit memainkan peranan penting dalam memupuk kesedaran pentingnya menjaga kesihatan dalam kalangan masyarakat, kata Dr Ripin Lamat.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak itu situasi itu digambarkan dengan penubuhan farmasi seperti cendawan tumbuh selepas hujan ketika ini ekoran dunia pernah dibadai dengan pandemik Covid-19 tiga tahun lalu.
Menurutnya inisiatif farmasi bukan sahaja memudahkan masayarakat membeli bekalan perubatan dengan segara malahan ia turut memberi inspirasi kepada pelanggannya untuk menjaga kesihatan diri dengan lebih serius.
“Hari ini, kita berkumpul di sini bukan sahaja untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjalani gaya hidup sihat tetapi juga untuk menyediakan saluran bagi komuniti untuk bersama-sama melibatkan diri dalam aktiviti fizikal dan belajar cara untuk menjaga kesihatan kita dengan lebih baik.
“Melalui acara seperti ini, kita boleh memberi inspirasi kepada individu dan keluarga untuk membuat pilihan yang positif dan menjaga kesihatan mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan gabungan Caring Pharmacy dan JOM Pharmacy dengan pelancaran “Karnival Hari #Caring Kesihatan” anjuran Caring Pharmacy di Vivacity Megamall pada Jumaat.
Beliau dalam pada itu turut mengingatkan bahawa kesihatan masyarakat yang cemerlang akan mewujudkan negara maju dan berkembang ke arah lebih positif,
Dalam perkembangan sama, Pengarah Urusan Caring Pharmacy, Chong Yeow Siang berkata gabungan strategik itu menyediakan peningkatan keselesaan dan kebolehmampuan kepada pelanggan di bandar dan luar bandar.
“Misi kami agak serupa iaitu untuk menyediakan penjagaan farmasi yang profesional, mudah diakses dan mampu milik kepada komuniti setempat.
“Justeru, kami percaya bahawa jika kami berganding bahu, kami boleh memberi nilai dan impak yang lebih baik kepada masyarakat jadi itulah sejarahnya dan kini kedua-dua jenama itu dah selamat berumahtangga. JOM dan CARiNG Pharmacy,” kata beliau.
Mengulas lanjut, katanya penggabungan itu bermatlamat untuk mengaplikasikan kepakaran, sumber dan rangkaian gabungan kedua belah pihak untuk meningkatkan penjagaan pesakit, memperluas perkhidmatan dan memacu kemajuan dalam bidang farmasi yang berkembang dengan pantas.
Untuk rekod, Caring Pharmacy merupakan rangkaian farmasi tempatan yang terkenal di Malaysia, dengan pengalaman lebih dari 29 tahun dalam industri farmasi runcit.
Terdahulu, Karnival Hari #Caring Kesihatan dianjurkan selama empat hari bermula semalam, 18 hingga 21 Mei di Vivacity Megamall, Kuching.
Para pengunjung dipelawa mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang disediakan serta dan berpeluang membawa piulang hadiah dengan mata ganjaran Caring, seperti permainan sukan maya, sesi zumba dan penebusan hadiah. – TVS