KUCHING, 18 Mei: Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menegur pihak yang menjual semula tiket konsert Coldplay pada harga yang terlalu mahal mencecah RM43,000.
Fahmi berkata, tindakan itu sebagai keterlaluan dan menjelaskan perkara itu di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Bagai pisang goreng panas, tiket prajualan konsert Coldplay menerusi CIMB habis dijual
“Insya-Allah saya bangkit dengan Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub,” katanya menerusi hantaran di Twitter.
Sebelum ini peminat kumpulan muzik ternama dari United Kingdom itu meluahkan kekecewaan apabila tiket habis dijual dalam tempoh singkat selepas jualan dalam talian dibuka semalam.
Beberapa individu dipercayai pembeli tiket hantu kemudian dikesan menjual semula tiket konsert itu pada harga terlalu tinggi sehingga mencecah 30 kali ganda berbanding harga asal.
Difahamkan, tiket tempat duduk kategori 1 yang dijual penganjur rasmi berharga RM1,288.
Konsert dijadual berlangsung pada 22 November depan di Stadium Nasional Bukit Jalil. -TVS