KUCHING, 18 Mei: Kerajaan Sarawak terus melaksanakan langkah proaktif bagi memperkasa inovasi digital dalam kalangan usahawan di negeri ini.
Terbaharu, Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Petronas Digital Sdn. Bhd. bagi membentuk kerjasama kukuh menjayakan agenda berkenaan.
Pengerusi TEGAS merangkap Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, MoU tersebut selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) Sarawak.
“Majlis hari ini adalah untuk meraikan sinergi membabitkan Petronas Digital Sdn. Bhd. dan TEGAS yang mempunyai misi bersama untuk meningkatkan inovasi digital dan keusahawanan di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis berkenaan di TEGAS Digital Village, Kuching pada hari ini.
Turut hadir, Naib Presiden Kanan Penyampaian Projek dan Teknologi Petronas, Datuk Bacho Pilong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Udin Bujang dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Sdn. Bhd., Aadrin Azly.
Menerusi MoU berkenaan juga, Len Talif berkata, Petronas Digital Sdn. Bhd. bakal menjadi penyewa utama di Hab Inovasi Digital TEGAS di Kuching.
Ini katanya bakal membuka peluang pekerjaan kepada anak Sarawak dalam perniagaan digital.
Sementara itu, Petronas Digital Sdn. Bhd. juga merancang untuk melatih bakat teknologi Sarawak termasuk dalam perkomputeran awan secara percuma serta akses kepada platform latihan dalam talian seperti Pluralsight bagi memacu inovasi dan pertumbuhan ekonomi. -TVS