KUCHING, 18 Mei: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan rakyat agar menyemai sifat ‘lita’aarafu’ dalam kehidupan seharian sebagai inisiatif menghormati kepelbagaian dalam membangunkan negara MADANI ini.
Menurut beliau sifat murni itu berhubung kait tentang hubungan kesederhanaan dengan kemanusiaan iaitu ia tidak terlepas dengan prinsip ‘lita’aarafu’ yang membawa maksud tidak hanya sekadar saling mengenali malahan sifat ini turut merangkumi saling menghormati dan memuliakan di antara satu sama yang lain.
“Kerana lita’aarafu itu mengiktiraf wujudnya kepelbagaian, wujudnya kemajmukan untuk kenal dan saling menghormati, bukan toleransi sahaja tetapi untuk kita kenal dan hormat perbezaan dalam kepelbagaian yang di tunjukkan oleh Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) kita.
“Terima kasih dan ini juga akan menjadi tonggak di Sarawak serta kita berharap akan kukuh di negara MADANI di Malaysia ini,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Antarabangsa Imam As-Syafie di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Khamis.
Sementara itu, Anwar berkata, usaha untuk meneroka ilmu dan teknologi baharu tidak harus terbatas dengan khazanah ilmu kemanusiaan yang diperoleh di peringkat awal kehidupan.
“Seperti yang saya sebutkan dalam konvensyen baru-baru ini di Kuala Lumpur, Sarawak kini mendepani dalam beberapa hal pembangunan, ekonomi, teknologi, digital dan tenaga hijau.
“Dengan itu pada hari ini kita juga menyaksikan kesediaan pimpinan Sarawak untuk mengekalkan satu aspek penting dalam negara MADANI, negeri harus makmur, maju tetapi harus berakar keyakinan,” ujar beliau.
Turut hadir, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Utitli dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, dan Mufti Sarawak, Datu Kipli Yassin.