KUCHING, 18 Mei: Warga Sarawak berpeluang untuk menikmati kebudayaan Perancis sempena penganjuran Le French Festival 2023 (LeFF 2023) di bandar raya ini.
Penganjurnya, The Alliances Françaises de Malaisie berkata, LeFF 2023 akan membuka tirai di Kuala Lumpur sebelum diteruskan di Pulau Pinang dan Johor.
Kata organisasi itu, Kuching dipilih sebagai lokasi penutup pada 21 hingga 25 Jun ini.
“Edisi ke-21 mengalu-alukan kedatangan para pengunjung untuk menikmati pengalaman kebudayaan yang mendalam selama sebulan yang terdiri daripada seni persembahan, seni visual, gastronomi, muzik dan pelbagai filem Perancis kontemporari,” kata The Alliances Francaises de Malaisue menerusi kenyataan media.
Bagi sesi tayangan filem, sebanyak 15 filem Perancis berunsurkan komedi, cerita seram, drama, percintaan dan banyak lagi ditawarkan kepada pengunjung.
“Salah satu filem utama ialah adaptasi daripada novel The Three Musketeers oleh Alexandre Dumas, satu detik penting dalam kesusasteraan Perancis dan novel cerita yang penuh dengan tipu muslihat dan komplot,” jelas kenyataan itu.
Selain itu, menerusi LeFF 2023, orang ramai turut berpeluang mendalami masakan Perancis yang istimewa.
“Anda berpeluang untuk belajar membuat roti hasil tunjuk ajar tukang masak dari kafe PAUL dan ini boleh dilakukan dengan menempah slot untuk bengkel pastri atau kedai roti,” jelas penganjur.
Sementara itu, Duta Besar Perancis Ke Malaysia, Axel Cruau berkata, edisi 2023 festival itu akan lebih aktif dalam menyerlahkan budaya Perancis yang terbaik dan berkongsi dengan pengunjung di Malaysia termasuk di Kuching, Sarawak yang merupakan lokasi terbaharu.
Bagi penganjuran di Sarawak, acara itu turut mendapat kerjasama Sarawak Media Group (SMG).
Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti lain, sila layari https://www.alliancefrancaise.org.my/alliance-francaise-de-kuala-lumpur/ . – TVS