Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dr Hazland Abang Hipni. Foto TVS.

Hidrogen Sarawak bertaraf premium, dihasilkan menggunakan kaedah mesra alam  

BySheera Abang Mansor

KUCHING, 18 Mei: Hidrogen dihasilkan Sarawak bertaraf premium berbanding yang dihasilkan di negara-negara lain, kata Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Dr Hazland Abang Hipni.

Menurutnya, hidrogen premium merupakan cap dagangan yang meletakkan Sarawak sebagai pengeluar hidrogen hijau yang sekali gus melestarikan alam sekitar.

“Sarawak komited untuk berada dalam peralihan tenaga menjelang tahun 2030. Kita menyasarkan untuk menjadi pengeluar hidrogen hijau kerana kita dikurniakan dengan banyak sungai, hujan, cahaya matahari dan kita mempunyai hidroelektik yang akan menghasilkan hidrogen hijau.

“Itu adalah ‘trademark’ kita dan ia akan menjadi hidrogen premium berbanding hidrogen lain yang dihasilkan di bahagian lain dunia yang tidak hijau kerana sumber tenaga yang mereka gunakan bukan hidro tetapi menggunakan arang batu, bahan api, nuklear dan banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik 2024 (APGH2024) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Dr Hazland berkata lagi,  Sarawak berpotensi untuk menerajui ekonomi hidrogen di rantau Asia Pasifik dan menjadi yang pertama membangunkan ekonomi hidrogen hijau dengan berbilion dolar dilaburkan ke dalam inisiatif Hidrogen Hijau dan R&D di peringkat global.

Katanya lagi, Sarawak sememangnya layak untuk diletakkan sebagai hab global bagi teknologi canggih, produk, peralatan moden, sistem dan penyelesaian dalam sektor hidrogen.

Usaha ini, tambahnya bukan sahaja akan menarik syarikat multinasional untuk melabur dalam teknologi hidrogen hijau tetapi juga memberi manfaat besar kepada industri pelancongan Sarawak, mewujudkan banyak ekonomi sampingan dan mendapat publisiti di seluruh dunia.

Katanya, hidrogen merupakan antara tujuh faktor pemungkin di dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.

Mengenai APGH2024 yang akan berlangsung dari 11 hingga 13 Jun 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), beliau berkata penganjurannya adalah sejajar dengan matlamat Kerajaan Sarawak mengembangkan potensi Sarawak sebagai pengeluar hidrogen hijau.

Ia dijangka akan menarik 100 peserta pameran, 500 delegasi persidangan dan 4,000 pelawat perdagangan. 

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual merasmikan persidangan yang dianjurkan Borneo Business Connect Sdn Bhd dengan sokongan Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak dan Business Event Sarawak. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment


Berita Berkaitan