KUCHING, 18 Mei: Ekspedisi Orang Asal Sarawak oleh Gabungan Orang Asal Sabah Sarawak (GOASS) dilihat sebagai platform untuk mengetengah dan mempromosi budaya Borneo bukan sahaja di peringkat Malaysia malah ke mata dunia.
Ahli Parlimen Lubok Antu Roy Angau Gingkoi optimis hasrat itu bertepatan dengan sambutan Hari Gawai Dayak yang bakal disambut lebih kurang dua minggu lagi.
“Ini adalah salah satu langkah baik dalam mempromosikan budaya yang ada di Sabah dan Sarawak kerana kebanyakkan rakan-rakan serta saudara mara kita di sebelah sana (Semenanjung Malaysia) masih tidak memahami adat-adat serta budaya yang ada di Borneo.
“Saya berharap pada masa hadapan kelak, mana-mana pihak terutamanya (badan bukan kerajaan) NGO-NGO atau persatuan-persatuan di sini dapat memberi sokongan atau mengikuti ekspedisi mereka dalam mempromosikan budaya Borneo kita,” katanya ketika ditemui TVS di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) di sini hari ini.
Roy turut menambah ekspedisi ini juga yang mempamerkan kepelbagaian kaum dan etink di Malaysia bertepatan dengan seruan pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan.
“Anda mesti faham di Sarawak kita mempunyai banyak etnik seperti Orang Ulu, Dayak dan lain-lain dan ini adalah sebahagian daripadanya dan walaupun berbeza agama, mereka bersatu untuk mempromosikan budaya Sarawak dan Sabah.
“Pada masa sama, ia juga adalah manifestasi Kerajaan Perpaduan yang bertunjangkan perpaduan di seluruh Malaysia,” katanya lagi.
Seramai 126 orang GOASS dijadualkan akan menghadiri Borneo Native Festival atas undangan dan inisiatif daripada Sukaseni yang akan berlangsung mulai esok hingga 21 Mei di Pasar Seni Kuala Lumpur.
Sementara itu mengulas mengenai perancangan GOASS pada masa hadapan, organisasi tersebut memberitahu mereka bakal menganjurkan satu ekspedisi dari Borneo ke New Zealand untuk berjumpa dengan suku kaum Maori. – TVS