Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali memberitahu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Khamis bahawa proses persempadanan semula bahagian pilihan raya di Sarawak dijangka akan dilakukan pada tahun ini. Foto: TVS

DUN Sarawak: Persempadanan semula pilihan raya dijangka tahun ini

ByDouglas Elliot

KUCHING, 18 Mei: Proses persempadanan semula bahagian pilihan raya di Sarawak dijangka akan dilakukan pada tahun ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Menurut beliau perkara itu berikutan urusan kajian proses tersebut akan berakhir pada tahun ini iaitu selepas tamat lat tempoh lapan tahun.

“Dibawah Perkara 113 dalam Perlembagaan Persekutuan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hendaklah dari semasa ke semasa menyemak semula persempadanan bahagian pilihan raya persekutuan dan negeri.

“Persempadanan semula hanya boleh dilaksanakan selepas tamat lapan tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang mengenai perkembangan tuntutan pertambahan bilangan kerusi Sarawak di Dewan Rakyat pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari keempat, hari ini.

Tambahnya, urusan persempadanan semula terakhir bagi Sarawak telah dilakukan pada 2015.

Sharifah Hasidah memberitahu Dewan tersebut bahawa pertambahan kerusi Sarawak di Parlimen boleh dilakukan melalui dua cara, selain daripada pindaan kepada Perkara 46 dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara ini telah dibentangkan kepada Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) dalam mesyuaratnya pada 8 September 2022, yang mana Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) pada ketika itu telah bersetuju untuk mengemukakan tuntutan ini kepada Mesyuarat Kabinet Persekutuan,” jelasnya.

Katanya lagi, selepas penubuhan Kerajaan Perpaduan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menggantikan MKMA63 dengan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (МТРМА63) pada Januari.

“Kerajaan Sarawak akan terus memperjuangkan perkara ini bagi memastikan bilangan perwakilan yang seimbang selaras dengan tujuan asal pembentukan Malaysia pada tahun 1963,” ujarnya.

Terdahulu, Sharifah Hasidah berkata penubuhan МТРМА63 akan memudahkan lagi urusan perbincangan tuntutan hak Sarawak yang terkandung dalam MA63 secara terperinci. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan