KUCHING, 18 Mei: Di sebalik kehangatan cerita mengenai cadangan pembukaan kasino di Borneo Highlands di sini baru-baru ini, Kerajaan Sarawak belum ada perancangan melaksanakan pembinaannya dalam masa terdekat.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting berkata cadangan itu bukanlah satu keutamaan pada ketika ini.
“Pembangunan itu memerlukan satu kajian holistik selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
“Kerajaan Sarawak akan melihat cara untuk membangunkan kawasan itu menjadi sebuah pusat peranginan bersepadu dengan pelbagai kemudahan seperti padang golf, pusat hiburan keluarga, pusat beli-belah serta restoran.
“Inisiatif itu akan mengambil masa untuk dilaksanakan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Sebastian berkata lagi, Borneo Highlands yang terletak di Padawan berpotensi untuk dikembangkan sebagai pusat peranginan, sesuai dengan lokasinya di tanah tinggi.
Dengan pemandangan alam semula jadi yang indah serta beriklim dingin, ia akan menjadi satu lagi destinasi pelancongan di Sarawak yang mampu menarik kedatangan ramai pelancong.
“Kami menjangkakan impak ekonomi bagi kawasan itu akan memberi manfaat besar kepada komuniti setempat dengan membuka peluang pekerjaan,” katanya. – TVS