Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datuk Haji Len Talif Salleh. Foto: UKAS

DUN Sarawak: JKR selenggara jalan balak jika pelesen tamat operasi

ByDouglas Elliot

KUCHING, 18 Mei: Jabatan Kerja Raya Sarawak (JKR) akan menyelenggara jalan-jalan balak yang telah ditinggalkan oleh pelesen balak berikutan penamatan operasi mereka di kawasan berkaitan, kata Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh.

Inisiatif itu menurut beliau ekoran Kerajaan Sarawak mengambil berat berhubung keselamatan pengguna jalan balak di kawasan pedalaman negeri ini yang terpaksa meredah jalan terbabit sebagai laluan pengangkutan utama.

Beliau mengakui jalan balak menjadi perhubung penting kepada penduduk setempat ke kawasan bandar atau pekan yang terdekat.

“Kerajaan Sarawak amat prihatin terhadap keselamatan orang awam dan kakitangan kerajaan yang menggunakan jalan balak untuk pelbagai urusan di kawasan pedalaman negeri ini.

”Justeru, kerja-kerja penyelenggaraan jalan balak secara kerap dan berkala adalah amat diperlukan bagi memastikan jalan balak berkenaan sentiasa berada dalam keadaan baik serta boleh digunakan dengan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau pada persidangan hari keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Menurut Len, satu garis panduan Pembalakan Berimpak Rendah (Reduced Impact Logging) telah ditetapkan oleh Kerajaan Sarawak bagi memastikan jalan balak sedia ada dan baharu di Sarawak dibina dan diselenggara oleh pihak pelesen balak dengan efisien.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 29 Jun 2021 telah bersetuju meluluskan kadar penyelenggaraan jalan balak bagi pelaksanaan projek kerajaan di Sarawak.

“Kadar yang telah ditetapkan ini mesti dipatuhi oleh semua pihak yang terlibat terutamanya pihak pelesen balak dan kontraktor yang dilantik untuk melaksanakan projek kerajaan bagi memastikan jalan balak di Sarawak sentiasa diselenggara di tahap yang memuaskan dan selamat untuk digunakan,” tegasnya.

Tambahnya, berikutan peraturan memandu (driving law) yang berbeza di kawasan lesen pembalakan, penanda arah pemanduan betul di sepanjang jalan balak adalah wajib disediakan oleh pihak pelesen balak untuk tujuan keselamatan penggunaan oleh orang awam. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan