SIBU, 18 Mei: Dua orang suri rumah di sini mengalami kerugian RM20,600 selepas diperdaya oleh sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai anggota polis.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, dalam kejadian pertama pada Selasa lepas, mangsa menerima panggilan daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis bernama Huang Jin.
Pemanggil memaklumkan suri rumah berusia 43 tahun itu terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram berdasarkan transaksi akaun banknya.
“Suspek meminta pengadu melakukan transaksi ke atas akaun bank atas nama seorang individu untuk menyelesaikan masalah itu.
“Pada hari sama, pengadu melakukan pindahan wang sebanyak RM17,000 ke atas akaun berkenaan namun suspek memintanya melakukan sekali lagi transaksi dengan jumlah RM30,000,” katanya.
Zulkipli berkata suspek yang mengesyaki ditipu kemudian membuat laporan polis.
Kes kedua pula katanya melibatkan seorang mangsa berusia 51 tahun yang menerima panggilan semalam mendakwa dia terlibat dengan kes dadah.
“Mangsa diminta menyerahkan maklumat peribadi termasuk akaun bank dan turut diberikan klik pautan aplikasi WhatAps.
“Pengadu yang terpedaya telah melayari pautan berkenaan dan menyedari sejumlah RM3,000 dalam akaunnya telah lesap,” katanya.
Sehubungan itu, Zulkipli menasihatkan orang awam agar tidak mudah terpedaya sekiranya menerima panggilan telefon daripada pemanggil yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis.
Katanya, kedua – dua kes siasatan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -TVS