KUCHING, 18 Mei: Pemuda Gabungan Parti Sarawak (GPS) meluahkan rasa kecewa susulan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengadakan sidang media di bilik media, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak untuk mempromosikan parti mereka.
Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Miro Simuh berkata perbuatan ini boleh dikategorikan sebagai ‘tanpa diundang’ kerana bilik media seharusnya digunakan sebagai platform untuk membuat liputan berkenaan persidangan DUN.
“Tidak pernah parti-parti politik datang duduk di kerusi ini (bilik media) untuk memperkenalkan dan mengadakan promosi berkenaan parti politik mereka.
“Semalam (Rabu) Parti MUDA bagi kami (Pemuda GPS) kurang sihat dan perbuatan seperti itu adalah ‘gate crashing’ untuk mempromosikan parti politik mereka,” katanya pada sidang media di DUN, hari ini.
Bilik media di DUN disediakan kepada para petugas media untuk melaksanakan tugasan dan dikhususkan untuk sidang media bagi wakil rakyat sepanjang persidangan DUN.
Persidangan DUN kali ini berlangsung bermula 15 hingga 24 Mei. – TVS