Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil. Foto fail: Bernama.

Rangkaian 5G DNB akan terus digunakan meskipun negara beralih kepada dwirangkaian 5G – Fahmi

ByBernama

KUALA LUMPUR, 17 Mei: Rangkaian 5G yang dibangunkan Digital Nasional Bhd (DNB) akan terus digunakan sebagai salah satu daripada dua rangkaian 5G negara apabila negara beralih kepada model dwirangkaian 5G kelak.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata langkah itu selari dengan penubuhan DNB yang bertujuan untuk mempercepat pelaksanaan rangkaian 5G di negara ini.

“Malah sehingga April ini, DNB telah berjaya membangunkan rangkaian 5G di 59.5 peratus kawasan berpenduduk di negara ini.

“Jadi ia akan terus digunakan, malah rangkaian 5G DNB akan kekal beroperasi dan terus diperluas melangkaui 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk,” katanya dalam satu temu bual bersama media mengenai hala tuju pelaksanaan 5G di Malaysia di Kementerian Komunikasi dan Digital, di Putrajaya, baru-baru ini.

Fahmi berkata pada awal tahun depan juga, entiti kedua yang akan diwujudkan bakal memulakan pembangunan satu lagi rangkaian 5G untuk negara.

“Jadi seperti sasaran kita, hujung tahun ini rangkaian 5G pertama oleh DNB akan mencapai tahap 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk, dan awal tahun hadapan entiti B (entiti kedua) ini akan bermula daripada kosong, beroperasi secara berperingkat dan akan mencapai liputan setara rangkaian pertama (80 peratus) dalam tempoh lebih kurang dua tahun,” katanya.

Fahmi berkata kerajaan tidak akan mempunyai sebarang pegangan dalam entiti baharu itu malah tidak mempunyai niat untuk terlibat.

Menurut Fahmi, keputusan memperkenalkan rangkaian kedua 5G melalui satu entiti baharu itu selain menukar model pelaksanaan daripada rangkaian borong tunggal (SWN) kepada dwirangkaian tidak akan memberi kesan buruk kepada pengguna.

Beliau berkata perkara itu merupakan komitmen bersama antara kerajaan dengan syarikat telekomunikasi kepada pengguna terutamanya melibatkan aspek harga pakej yang ditawarkan serta kualiti perkhidmatan.

“Walaupun (tahun hadapan) akan ada entiti A dan entiti B, kita berubah kepada dwirangkaian, kerajaan khususnya melalui MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) ada kuasa untuk pastikan tidak berlaku keadaan yang akan mendatangkan kesan negarif pada pengguna.

“Kita ada Akta Komunikasi dan Multimedia… jika ada dominasi, ada persaingan tidak sihat atau pelanggaran kepada kualiti perkhidmatan yang ditawar kepada pengguna, MCMC boleh keluarkan arahan malah kenakan penalti kepada syarikat berkenaan,” katanya.

Fahmi turut memberi jaminan kewujudan dwirangkaian melibatkan dua entiti berbeza nanti tidak akan menyebabkan sebarang kenaikan kos kepada syarikat telekomunikasi pada peringkat jualan borong.

“Tidak akan ada peningkatan kos jualan borong per gigabait rangkaian kepada syarikat telekomunikasi, ini mustahak kerana akan menentukan harga pakej yang akan ditawarkan syarikat telekomunikasi kepada pengguna.

“Pada masa sama, MCMC mempunyai instrumen mencukupi seperti Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) bagi meletakkan harga siling pada jualan borong seperti yang dilaksanakan 16 Feb lepas untuk perkhidmatan borong jalur lebar berkelajuan tinggi,” katanya.

Fahmi turut berkongsi mengenai kekangan yang dihadapi dalam pelaksanaan 5G terutamanya melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara yang dilihat belum mempunyai penyelarasan dalam pelbagai perkara berkaitan perkhidmatan telekomunikasi.

“Ada sesetengah kawasan PBT, ada yang kenakan empat fi, ada yang sampai 14 fi, ada sesetengah PBT pula kenakan caj bagi pemasangan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi, tidak benar guna monopol, kena guna paip bawah tanah, jadi perkara ini semua ada kos tambahan.

“Jadi pasukan petugas yang kita tubuhkan Selasa lepas akan turut beri penelitian pada perkara seperti ini kerana saya yakin bila kita perkukuhkan soal pengurusan, kita akan dapat lakukan penjimatan,” katanya.

Menurutnya lagi task force itu juga mengambil iktibar dan panduan daripada kejayaan Inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang terbukti mendapat pengiktirafan antarabangsa pada World Summit on the Information Society Prizes 2023 (WSIS Prizes 2023) di Geneva, Switzerland, 14 Mac lepas.

Sementara itu, Fahmi berkata kerajaan kekal tegas dalam aspek keselamatan dalam segenap aspek melibatkan peluncuran rangkaian 5G di negara ini.

“Sebab itu dalam penilaian kita terhadap pelbagai model, pilihan-pilihan yang ada untuk peluncuran 5G ini, isu keselamatan dan kedaulatan negara amat kita tekankan, bukan sahaja berkisar pada model perniagaan dan juga obligasi kontrak, malah isu-isu lain,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan