KUCHING, 16 Mei: Kesatuan Guru Sarawak (STU) mengajak para pendidik memahami erti tema Hari Guru 2023, ‘Guru Insani Pemangkin Generasi Madani’.
Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU), Kullin Djayang berkata pengertian ‘Guru Insani’ mengajak semua guru memberikan pendidikan secara holistik atau menyeluruh dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek juga sosial.
“Kemenjadian murid amat diutamakan dalam membentuk generasi Madani. Biarlah kita didik anak anak kita sahsiah dahulu, lama lama nanti mereka akan cerdik,” katanya menerusi kenyataan sempena Hari Guru.
Menurutnya lagi, Madani bermaksud membentuk masyarakat dengan menyemaikan nilai-nilai murni kekeluargaan, kurikulum yang juga terarah kepada pembinaan sikap serta sahsiah murid serta masyarakat.
Para pendidik adalah teras kepada pembangunan insan terdidik yang bakal menerajui negara, jelasnya.
“Diharapkan juga para guru di seluruh bumi Kenyalang memenuhi kehendak tag Kementerian Pendidikan iaitu, Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara dan Negara Sejahtera.
“Begitulah besarnya hasrat Kementerian Pendidikan untuk melihat kemampuan para pendidik bagi melahirkan generasi yang berkualiti, beradab tinggi serta berpendidikan untuk menerajui negara suatu hari nanti,” katanya. – TVS