KUCHING, 16 Mei: Isu rabies kini diaktifkan semula dan dikategorikan sebagai bencana dengan pemantauan diletakkan di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), kata Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah itu berkata ia dipersetujui semasa perbincangannya dengan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Pengerusi JPBNS.
Baca artikel berkaitan >>> Rabies ragut 59 nyawa di Sarawak sejak Julai 2017
“Apa yang kita lihat sejak kebelakangan ini, trend kes rabies di Sarawak agak membimbangkan, sudah tentu kita tidak dapat membandingkan jumlah yang direkodkan di Filipina, tetapi dari segi peratusan, ia agak tinggi bagi saya,” katanya pada sidang media sempena Persidangan Rabies di Borneo (RIB) di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah Sarawak Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Dr. Adrian Susin Ambud, Ketua Pegawai Eksekutif Place Borneo Sdn Bhd Mona Abdul Manap dan Ketua Pegawai Eksekutif Acara Perniagaan Sarawak Amelia Roziman.
Mengulas lanjut, Rundi mendedahkan beberapa lokasi telah dikenal pasti sebagai kawasan rabies menerusi 42 persampelan haiwan yang positif rabies pada tahun ini termasuk di Kuching, Lundu dan Padawan.
Sejak 2017, sebanyak 72 kawasan di Sarawak telah diisytiharkan sebagai kawasan jangkitan rabies: Kuching (7), Samarahan (4), Serian (22), Sri Aman (6), Betong (3), Sarikei (5), Sibu (3), Kapit (1), Mukah (6), Bintulu (5), Miri (8) dan Limbang (2).
Jelasnya, setakat ini, 232,198 vaksinasi anti-rabies telah diberikan dengan lebih banyak program vaksinasi sedang dirancang untuk sepanjang tahun ini.
Bagaimanapun ujar beliau, pihaknya terus berdepan cabaran, memandangkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak menerima purata 250 pemberitahuan gigitan haiwan setiap bulan.
“Adalah penting untuk sentiasa meningkatkan kesedaran tentang pencegahan, vaksinasi dan langkah-langkah kawalan Rabies, serta mencari strategi dan penyelesaian yang berkesan untuk membasmi Rabies di Sarawak,” ujarnya.
Mengenai RIB, beliau berkata ia akan berlangsung pada 31 Oktober dan 1 November depan bertempat di Hotel Imperial.
Acara penting ini bertujuan untuk mengumpulkan pakar tempatan dan antarabangsa, serta melibatkan diri dengan komuniti yang terjejas oleh Rabies dalam usaha kolektif untuk memerangi dan menghapuskan wabak itu di Sarawak.
Katanya, RIB akan menjadi platform utama untuk mengumpulkan penyelesaian pakar tempatan dan antarabangsa dan melibatkan diri dalam komuniti yang terjejas rabies.
“Saya percaya RIB 2023 akan membantu mempertingkatkan lagi rancangan negeri dalam mencapai sifar Rabies pada manusia dan anjing,” ujarnya. – TVS