Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2023 di MITC, Ayer Keroh hari ini. Foto: Bernama.

PM minta Kementerian Pendidikan tubuh pasukan khas suntik semangat belajar sains, teknologi

ByBernama

MELAKA, 16 Mei: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Kementerian Pendidikan menubuhkan satu pasukan khas bagi mencari jalan untuk menyuntik semula semangat anak-anak supaya kembali meminati subjek berkaitan sains dan teknologi.

Beliau berkata dunia kini menuju kepada teknologi hijau terutama dalam bidang automotif, bagaimanapun dalam laporan terakhir diterimanya memaklumkan anak-anak kini kurang meminati subjek berkenaan terutama yang tinggal di kampung dan golongan miskin bandar.

“Saya telah minta Menteri Pendidikan adakan pasukan khas untuk mencari jalan menyuntik semula semangat anak-anak supaya (bukan sahaja) dididik sebagai manusia tetapi juga diberikan bimbingan tentang cabaran dan disiplin baharu dalam bidang teknologi dan sains.

“… kerana dari kajian awal, minat anak-anak terutama di desa, pedalaman dan miskin bandar itu dalam bidang sains dan teknologi juga merosot… ini cabaran bagi kita dan negara yang menuju ke bidang teknologi hijau (serta) kereta elektrik.

“Cabaran iklim, digitalisasi tetapi tidak cukup anak-anak yang terlatih dalam bidang pengkhususan ini,” kata beliau ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2023 bertemakan Guru Insani Pemangkin Generasi MADANI.

Majlis yang diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh itu turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Timbalannya Lim Hui Ying dan ribuan guru dari seluruh negara.

Anwar turut meminta warga pendidik agar memberi kesempatan baharu kepada kepimpinan kerajaan serta melonjakkan semangat rakyat untuk kembali menjadi negara hebat di rantau ini.

“Kita angkat negara ini dengan kekuatan bahasanya, sasteranya, budayanya, nilai dan akhlaknya dan teknologinya, diangkat sebagai satu negara hebat di rantau kita.

“Dan saya yakin insya-Allah, kalau guru-guru ini komited sepertimana saudara lakukan, tingkatkan sedikit, saya percaya masa depan kita akan cerah. Kita ketinggalan lama dalam simpang-siur politik,” kata beliau.

Pada majlis sambutan itu, Datuk Dr Nuinda Alias dinobatkan sebagai Tokoh Guru Kebangsaan 2023 manakala Datuk Mazlan Mohamad sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2023. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan