Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Nur Amirul Fakhrudin Marzuki berjaya mempertahankan pingat emas dalam acara lebuh raya pada Sukan SEA 2023 di Siem Reap, Kemboja. Foto: Facebook Norazman Ab Samah

Kekalkan formula campuran pasukan pro negara pertahan emas

ByBernama

PHNOM PENH, 16 Mei: Formula gabungan dua pasukan profesional terkemuka negara harus dikekalkan sekiranya skuad lebuh raya Malaysia mahu mengekalkan penguasaan dalam acara lepas beramai-ramai dan kriterium pada Sukan SEA 2025 di Thailand.

Pengurus pasukan skuad berbasikal negara, Norazman Abu Samah menegaskan wakil pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) dan Team Sapura Cycling (TSC) mesti dibenarkan berbakti demi negara sekiranya Malaysia mahu memburu lebih banyak emas di bumi negara Gajah Putih itu.

Jurulatih TSG dan TSC juga harus digandingkan pada edisi 2025 kerana mereka memiliki kepakaran untuk mencatur strategi perlumbaan demi melakar sejarah menang pingat emas acara lepas berama-ramai bagi kali ketiga berturut-turut sejak 2021.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pengurusan Persekutuan Berbasikal ASEAN (ACF) menjelaskan kedengaran khabar angin lebih 10 pingat emas akan dipertandingkan menerusi disiplin lebuh raya pada Sukan SEA 2025.

“Sekiranya benar, ia satu jumlah yang sangat besar. Saya difahamkan akan dipertandingkan beberapa acara baharu seperti ujian masa campuran berpasukan (MTT) iaitu dua pelumba elit lelaki bergandingan dengan dua pelumba elit wanita. Saya faham kenapa Thailand mahukan acara ini.

“Thailand memiliki dua pelumba elit lelaki yang kuat. Thailand juga memiliki barisan pelumba elit wanita yang kuat. Itu faktor menyebabkan Thailand memperkenalkan acara ujian masa campuran berpasukan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Azman percaya Thailand bakal menyenaraikan acara lepas beramai-ramai, kriterium dan ujian masa perseorangan (ITT) untuk elit lelaki dan wanita.

“Di sini sahaja ada enam pingat emas untuk direbut. Saya percaya akan ada tambahan pingat sekiranya Thailand menyenaraikan emas untuk kategori berpasukan menerusi acara acara lepas beramai-ramai dan kriterium,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden PKBM turut meminta semua pihak khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) agar segera memulakan latihan pusat kepada pelumba berbasikal negara.

“Kita tak perlu tunggu sehingga tiga atau empat bulan sebelum bermulanya temasya Sukan SEA 2025. Saya difahamkan lebih 40 pingat emas boleh direbut menerusi disiplin lebuh raya, trek, basikal bukit (MTB) dan BMX.

“Kita perlu manfaatkan peluang ini untuk merebut seberapa banyak pingat emas yang boleh. Kita perlu bermula lebih awal. Saya akan mendesak Biro Lebuhraya PKBM segera kemukakan cadangan kepada KBS atau MSN,” katanya.

Skuad lebuh raya Malaysia meraih satu emas, satu perak dan dua gangsa menerusi acara lepas beramai-ramai elit lelaki dan wanita serta kriterium pada Sukan SEA 2023 yang diadakan di Siem Reap, Kemboja.

Pelumba TSG, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki menyelamatkan maruah Malaysia selepas berjaya mempertahankan pingat emas acara lepas beramai-ramai elit lelaki yang dimenangi pada edisi di Hanoi, Vietnam tahun lepas. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan