KUCHING, 16 Mei: Sarawak kini sedang memuktamadkan Dasar Ekonomi Hijau selaras dengan visinya untuk mencapai matlamat kadar pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Dr Hazland Abang Hipni berkata rangka kerja Dasar Ekonomi Hijau Sarawak itu berpaksikan satu visi, tiga objektif dasar dan enam tunjang.
“Rangka kerja dasar itu memperkemaskan Sarawak sebagai negeri hijau yang mampan dan sesuai untuk didiami oleh semua.
“Pertumbuhan hijau memerlukan peralihan ke arah ekonomi hijau yang membezakan pertumbuhan ekonomi daripada tenaga, penggunaan sumber, pelepasan karbon dan pencemaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Dr Hazland berkata Model Bioekonomi merupakan strategi berkesan yang menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang memanfaatkan sumber biologi secara mampan.
Beliau memberitahu bahawa sektor bioekonomi dijangka akan berkembang di Asia.
Justeru, Sarawak harus memanfaatkan peluang ini dengan melaksanakan pelbagai program mengimbangi karbon, seperti pengurusan perhutanan mampan dan projek biotenaga.
“Pelancaran kemudahan penangkapan karbon mikroalga pertama di Sarawak baru-baru ini layak mendapat kredit karbon di bawah Piawaian Karbon Disahkan (VCS), lantas dapat menjana pendapatan dan menyumbang kepada pengurangan perubahan iklim,” katanya.
Pada Isnin, Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam ucapan sempena pembukaan Persidangan Pertama Penggal Kedua DUN Sarawak ke-19 memuji kejayaan kerajaan menarik banyak pelaburan ke Sarawak menerusi ekonomi baharu berasaskan teknologi hijau.
Katanya, inisiatif itu merupakan strategi yang mampu meningkatkan ekonomi dan pendapatan Sarawak. – TVS