SARIKEI, 15 Mei: Program Transformasi Kampung (VTP) yang dianjurkan selama lima hari oleh Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) di sini dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Sarikei dan Betong berupaya mewujudkan komuniti mandiri sekali gus memajukan rumah panjang dan kampung tradisi.
Pengarah Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU), Felicia Tan Ya Hua berkata, melalui VTP, pesertanya tidak sekadar berpeluang menimba ilmu tetapi juga berkongsi kemahiran diperoleh bersama masyarakat rumah panjang lain.
“Hasil kemahiran yang diperolehi peserta kursus semasa VTP ini boleh diperkembangkan lagi kerana ia boleh menghasilkan pendapatan. Jangan berhenti setakat ini saja, perkembangkan kemahiran dan mula ceburi bidang perniagaan.
“Itu tujuan kursus kita sebenarnya. Kita memberi pendedahan, kemahiran, pengetahuan berkaitan cara- cara untuk menghasilkan masakan dan sebagainya,” katanya pada Majlis Penutupan VTP di Sarikei, semalam.
VTP merupakan salah satu inisiatif kerajaan Sarawak untuk membangunkan rumah panjang atau kampung tradisi yang serba kekurangan kepada desa yang maju dan menguntungkan.
Kursus yang dianjurkan semasa VTP tersebut adalah kursus keselamatan pendawaian elektrik, kulinari, pastri dan fertigasi yang disertai seramai 62 orang peserta dari Sarikei, Betong, Pusa, Saratok, Kabong, Pakan, Meradong dan Julau.
“Kursus yang kita bawa hari ini memang sangat bersesuaian dan bermanfaat kepada semua peserta kerana kita dapat melihat potensi peserta-peserta meningkatkan lagi kemahiran dan pengetahuan dengan belajar bersama CENTEXS,” katanya. – TVS