Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof. Foto: Twitter Fadillah Yusuf

MA63: Beri kuasa pentadbiran pendidikan, kesihatan kepada Sabah dan Sarawak dibincang – Fadillah

ByBernama

KOTA KINABALU, 15 Mei: Pemberian kuasa pentadbiran untuk sektor pendidikan dan kesihatan di Sabah serta Sarawak terutama pengambilan petugas merupakan antara perkara penting sedang dibincang kerajaan Persekutuan melalui Sekretariat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Sabah dan Sarawak menghadapi cabaran dalam sektor pendidikan dan kesihatan kerana perancangan melibatkan sektor itu dilaksanakan di Putrajaya termasuk isu penting seperti pengambilan petugas seperti guru dan petugas kesihatan.

Beliau berkata apabila tawaran dibuka, kebanyakan kekosongan itu diisi calon yang tidak mahu bertugas di Sabah atau Sarawak kerana memikirkan kawasan pedalaman, yang akhirnya jawatan itu diisi tetapi tiada pegawai untuk berkhidmat di negeri tersebut.

“Dalam konteks kuasa pentadbiran dalam pendidikan dan kesihatan (diberikan) kepada Sabah dan Sarawak khususnya pengambilan pekerja, kita dapat tentukan jawatan kosong diisi dan (calon) dapat bertugas di Sabah dan Sarawak.

“Pada masa ini sedang kita menunggu kaedah dan terma yang akan dibentangkan kerajaan Sabah dan Sarawak untuk kita bincangkan bersama di peringkat Persekutuan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Apresiasi LKM di sini hari ini.

Sementara itu, Fadillah berkata melalui Sekretariat MA63 juga kerajaan Persekutuan secara konsepnya bersetuju untuk kerajaan Sabah dan Sarawak mengambil semula tanah, yang diambil kerajaan Persekutuan untuk pembangunan, sekiranya tanah itu tidak dimajukan atau terbiar setelah lima tahun.

“Dikembalikan kepada kerajaan negeri (Sabah dan Sarawak) dengan bayar balik pampasan pada kadar yang (diterima) dahulu, kalau dibuat sebahagian pembangunan kemudian terbiar jadi akan dikembalikan juga kos membuat infrastruktur itu dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata pada masa ini perkara tersebut sedang menunggu perbincangan dalam mesyuarat teknikal, yang sebelum ini ditangguhkan kerana Kementerian Kewangan belum dapat memuktamadkan beberapa perkara berkaitan.

Katanya dua lagi perkara yang sedang dibincangkan adalah berkenaan formula menentukan  pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak berdasarkan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, serta pembahagian kerusi Parlimen lebih sesuai antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Jumlah pemberian (khas) interim kepada kerajaan Sabah dan Sarawak meningkat asalnya dulu kecil sekarang akan diagihkan hampir RM300 juta setiap tahun secara interim sementara kita masih berunding formula bagaimana kaedah tentukan pengagihan itu,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan