KUCHING, 14 Mei: Jalan Gambir ke Jalan Main Bazar di hadapan Tebingan Sungai Kuching akan ditutup sementara sempena Sambutan Minggu Perpaduan.
Menurut Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), penutupan itu bermula pada 15 hingga 26 Mei ini.
Baca artikel berkaitan:
- 1. Sambutan Minggu Perpaduan Negara dijangka berlangsung pada Mei
- 2. Kerajaan anjur Minggu Perpaduan di Sarawak Mei ini
Sebelum ini, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, sambutan berskala besar itu akan berlangsung sebelum sambutan Hari Gawai pada 1 Jun dan kemudiannya akan diteruskan di seluruh negara.
Sambutan itu turut mempamerkan pelbagai program yang dilaksanakan menerusi tiga kluster utama iaitu Semarak Kenegaraan, Program Komuniti Rahmah dan Semarak Perpaduan.
Minggu Perpaduan Negara juga berlandaskan tema Perpaduan Dalam Kepelbagaian akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti ekspresi kasih, persahabatan dan persaudaraan yang akan memperkukuh semangat perpaduan.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dijangka akan merasmikan majlis pembukaan sambutan Minggu Perpaduan Negara peringkat nasional yang dijadual berlangsung di Tebingan Kuching pada 21 Mei. -TVS