SIBU, 14 Mei: Mayat dua remaja lelaki yang lemas selepas dibawa arus di Sungai Rajang berhampiran Wharf Pekan Durin ditemukan pagi ini.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Penguasa Kanan Bomba 1 Andy Alie berkata, pihaknya dimaklumkan yang kedua-dua mayat itu ditemukan oleh orang awam kira-kira enam kilometer (km) dari tempat kejadian.
Baca artikel berkaitan >>>>> Dua remaja dikhuatiri lemas dibawa arus Sungai Rajang
“Mangsa pertama iaitu Justin Siaw Yang Hao, 15, ditemui pada pukul 7.35 pagi manakala Kong Wei Seng ditemui 35 minit kemudian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, pengecaman telah dilakukan oleh keluarga mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Susulan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ketiga ditamatkan pada pukul 9.55 pagi tadi.
Pada 12 Mei lalu, tiga remaja lelaki termasuk kedua-dua mangsa dikatakan sedang mandi di tebing sungai itu pada pukul 4 petang.
Kegembiraan itu bertukar cemas apabila Yang Hao dan Wei Seng tiba-tiba dibawa arus sungai manakala seorang lagi rakan mereka yang cuba menyelamatkan mereka nyaris lemas namun berjaya diselamatkan oleh kakaknya. -TVS