TANJUNG MANIS, 14 Mei: Sebuah bot nelayan ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Tanjung Manis, kelmarin kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan pukat tunda.
Penahanan itu dilakukan menerusi operasi yang dilancarkan berhampiran Pantai Alit, Kabong.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Gilbert Tinggak Numpang berkata, bot itu ditahan pada jarak kira –kira 3.5 batu nautika dari barat laut pantai itu, pukul 1.38 petang.
“Sebelum itu, Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Manis menerima aduan terdapat aktiviti menangkap ikan dengan menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan oleh beberapa buah bot nelayan di kawasan terbabit.
“Sejurus menerima aduan, aset Maritim Malaysia terus diatur gerak ke lokasi untuk membuat pemantauan dan berjaya mengesan sebuah bot nelayan tempatan kelas A dalam keadaan yang mencurigakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pemeriksaan katanya mendapati bot itu melanggar syarat ditetapkan.
“Beikutan ini, kesemua tiga kru lelaki warga tempatan yang berusia 21 hingga 59 tahun, bot serta peralatan menangkap ikan ditahan dan diiring masuk ke Jeti Terminal Tanjung Manis untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya.
Sementara itu beliau memberitahu, sebuah kapal kargo turut telah ditahan pada jarak lebih kurang 2.8 batu nautika tenggara Tanjung Sedi, Daro pada pukul 11.14 pagi semalam.
“Hasil pemeriksaan mendapati pengendali kapal kargo tersebut gagal mengemukakan dokumen,” katanya.
Beliau menambah, kesemua lima kru lelaki warga asing dan seorang lelaki warga tempatan yang berumur 21 hingga 67 tahun telah ditahan untuk siasatan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952. -TVS