TANJUNG MANIS, 13 Mei: Kerajaan Persekutuan digesa agar menangani isu sekolah daif di Sarawak terutama di kawasan DUN Semop agar warga pendidik di sini dapat menikmati suasana pembelajaran yang lebih selamat dan selesa.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Ukas) Datuk Abdullah Saidol berkata, sebahagian besar sekolah di pedalaman dan luar bandar Sarawak termasuk kawasan beliau masih lagi berlangsung di bangunan berstruktur kayu yang dibina lebih 20 tahun dahulu.
Situasi itu menurutnya amat berbeza dengan keadaan sekolah di pekan atau bandar yang jauh lebih moden serta serba lengkap dengan kemudahan pendidikan.
“Warga pendidik di kawasan ini (luar bandar) memerlukan tempat penginapan yang lebih baik, saya menerima banyak permintaan dan aduan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), supaya sekolah mereka dibaik pulih dengan segera.
“Terutamanya, tempat penginapan guru dan saya rasa ini adalah antara perkara penting yang harus diberi perhatian menteri pendidikan yang baharu untuk, memberi perhatian khusus tentang perlunya sekolah daif ini diberi perhatian segera,” katanya ketika ditemui di Kampung Serdeng, semalam.
Abdullah yang juga ADUN Semop berkata, keadaan sekolah yang usang dan kurang ceria, tiada tempat permainan seperti padang atau gelanggang adalah tidak adil untuk anak-anak luar bandar yang mengharapkan suasana pembelajaran yang lengkap dan selesa.
Sehubungan itu beliau berharap Menteri Pendidikan Persekutuan serta Jabatan Pendidikan Negeri memberi perhatian serius dan tindakan segera bagi mengatasi masalah tersebut.
“Di kawasan saya ada sebanyak 22 buah sekolah, sebuah sekolah menengah dan sekolah rendah yang agak baharu tetapi secara amnya hampir 80 peratus daripada jumlah itu berada dalam keadaan yang sangat daif.
“Daif bagi saya ialah struktur sekolah, bangunan sekolah masih lagi seperti 20 dan 15 tahun yang dahulu. Oleh kerana itu, sudah tiba masanya masalah ini ditangani,” katanya.
Dalam pada itu, Abdullah berpeluang meninjau pembinaan dua blok yang menempatkan empat unit penginapan guru yang hampir siap di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Serdeng. – TVS