PHNOM PENH, 13 Mei: Kedudukan kontinjen negara dalam carta pungutan pingat agak mencemaskan apabila kekal berada di tempat ketujuh selepas berakhir hari ketujuh temasya Sukan SEA 2023 pada Jumaat.
Berbaki lima hari sebelum temasya sukan itu melabuhkan tirai pada Rabu depan (17 Mei), kedudukan itu pastinya membimbangkan kerana kontinjen negara sering berada di kedudukan lima teratas dalam temasya dwitahunan itu.
Baca artikel berkaitan:
- 1. Sukan SEA: Cheong Min atlet Malaysia pertama sumbang dua emas
- 2. Sukan SEA: Kuartet 4x400m tamat kemarau 10 tahun raih pingat
Malaysia hanya dua kali berada di tempat keenam iaitu pada edisi 1983 di Singapura dan Hanoi, Vietnam tahun lepas.
Dengan pungutan pingat yang masih perlahan pada Jumaat, kem negara sekadar meraih empat pingat emas, sekali gus menyaksikan Malaysia secara keseluruhan mengumpul 28 emas, 35 perak dan 59 gangsa.
Pada saingan semalam, kem taekwondo muncul pasukan terbaik apabila menyumbangkan dua pingat emas menerusi Nur Humaira Abdul Karim dalam acara poomsae individu wanita serta gandingan Nurul Hidayah Abdul Karim dan Jason Loo bagi kategori poomsae berpasangan campuran.
Dua lagi pingat emas yang diraih Malaysia adalah menerusi atlet wushu Tan Cheong Min dalam acara Taolu wanita (Nandao+Nangun) serta pelumba berbasikal Nur Amirul Fakhruddin Mazuki yang mengungguli acara lebuh raya lepas beramai-ramai elit lelaki.
Pada hari ketujuh tersebut, Malaysia turut menambah lima pingat perak dan sembilan gangsa.
Selepas tamat saingan semalam, Vietnam kekal mendahului carta pungutan pingat dengan meraih 71 emas, 68 perak dan 78 gangsa, diikuti Thailand 60-43-67 manakala tuan rumah, Kemboja di tangga ketiga dengan 58-47-63. – TVS