LANGKAWI, 13 Mei: Kanak-kanak lelaki enam tahun yang memandu sebuah kereta sebelum kemalangan di Jalan Bukit Tangga, Titicawang di sini, Selasa lalu dikatakan belajar cara memandu melalui YouTube selain mengamati pemanduan bapanya.
Ketua Polis Langkawi, Asisten Komisioner (ACP) Shariman Ashari berkata, keterangan itu diperoleh hasil siasatan polis terhadap kanak-kanak berkenaan.
Baca artikel berkatan:
- 1. Budak lelaki 6 tahun pandu kereta, terbabas
- 2. Polis rakam keterangan ibu bapa kes budak 6 tahun pandu kereta
Beliau berkata, polis menolak dakwaan budak tersebut mempelajari cara memandu menerusi alat simulator seperti dakwaan yang tular di media sosial.
“Siasatan polis mendapati tidak ada simulator di rumahnya dan gambar (tular) tersebut bukan kanak-kanak itu.
“Dia mendakwa tahu cara membawa kereta dengan melayari YouTube dan mengamati cara pemanduan bapanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Shariman berkata, pihaknya setakat ini telah merakam keterangan daripada ibu dan bapa kanak-kanak tersebut bersama lima individu lain yang merupakan saksi.
“Dia akan dirujuk kepada Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah untuk mendapatkan keterangan menyeluruh.
“Manakla, kertas siasatan hampir siap dan akan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri di Alor Setar sebaik pihak polis menerima laporan perubatan daripada hospital,” katanya lagi.
Baru-baru ini media melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera ringan pada dagu selepas kereta jenis Toyota Vios dipandunya terbabas di Jalan Bukit Tangga, Titicawang di sini pada malam Selasa.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.25 malam itu, budak tersebut turut membawa adik lelakinya berusia tiga tahun sebagai penumpang, namun tidak cedera.
Kereta itu dikatakan dipandu sejauh kira-kira 2.5 kilometer dari rumahnya di Kampung Padang Mengkuang sebelum terbabas dengan alasan kerana mahu pergi ke kedai. – TVS