KUCHING, 13 Mei: Kerajaan Sarawak akan membentangkan usul untuk melulus pencetakan semula Perlembagaan Negeri Sarawak, kata Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak itu berkata, usul berkenaan adalah bagi mencetak semula 10,000 naskhah Perlembagaan Negeri Sarawak yang dikemukakan di bawah peraturan tetap 23(1)(a) dan dibaca bersama Perkara 42 Perlembagaan Negeri.
Menurut Mohamad Asfia, usul itu akan dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada pada pusingan pertama pada 17 Mei dan pusingan kedua oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Jelas beliau, usul itu perlu dibentangkan memandangkan pencetakan semula Perlembagaan Negeri mesti mendapat persetujuan Dewan terlebih dahulu.
Baca artikel berkaitan > > >Â DUN Sarawak: Tiga RUU bakal dibentang minggu depan
“Anda perlu mendapat persetujuan Dewan. Ia dalam perlembagaan kita dan ia adalah dokumen tertinggi di Sarawak.
“Pencetakan semula ini termasuk semua pindaan terkini, jika anda membenarkannya secara bebas maka anda akan mempunyai cetakan semula untuk perlembagaan tanpa pindaan terkini.
“Setiap satu huruf, setiap titik mesti betul. Jadi anda perlu mendapat kelulusan Dewan untuk mencetak semula dengan pindaan terkini.
“Perkara 42 membenarkan pencetakan semula perlembagaan, DUN boleh dari semasa ke semasa, melalui resolusi, memberi kuasa kepada negeri, pencetak kerajaan untuk mencetak salinan perlembagaan ini termasuk semua pindaan yang berkuat kuasa pada masa kebenaran itu dan mana-mana salinan sedemikian yang dicetak hendaklah disifatkan sebagai tujuan untuk menjadi salinan yang benar dan betul, “ jelasnya.
Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kedua DUN Sarawak ke-19 akan diadakan selama lapan hari dari 15 hingga 24 Mei bertempat di Aras 8 Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak pada jam 9 pagi setiap hari persidangan kecuali 20 dan 21 Mei. – TVS