KUCHING, 13 Mei: Tiga Rang Undang-Undang (RUU) akan dibentangkan pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada 15 hingga 24 Mei.
Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata tiga RUU tersebut yang akan dibentangkan dalam persidangan lapan hari itu membabitkan RUU Perbekalan Tambahan (2022) 2023, RUU Perbekalan Tambahan (2023) 2023 dan RUU Majlis Kraftangan Sarawak 2023.
Baca artikel berkaitan > > > DUN Sarawak: Usul pencetakan semula Perlembagaan Negeri Sarawak bakal dibentang
“Menteri yang akan membentangkan RUU itu ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas…bacaan pertama pada 16 Mei, manakala bacaan kedua dan ketiga pula pada 18 Mei.
“Manakala bagi RUU Majlis Kraftangan Sarawak 2023, menteri yang akan membentangkan ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah. Bacaan kedua dan ketiga akan dilakukan pada Selasa, 16 Mei,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Pra Majlis sempena Persidangan DUN Sarawak di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.
Antara yang hadir pada mesyuarat itu ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan-timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Sim Kui Hian serta Timbalan Speaker DUN Sarawak, Datuk Idris Buang.
Selain itu, Mohamad Asfia memberitahu, persidangan DUN kali ini menyaksikan sebanyak 375 soalan lisan dan bertulis daripada 43 Ahli DUN Sarawak dengan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak menerima jumlah soalan tertinggi sebanyak 360 soalan.
Sementara itu, Mohamad Asfia memaklumkan bahawa tiada rang undang-undang untuk meminda mahkamah anak negeri telah dijadualkan untuk perbincangan dalam sidang DUN kali ini.
Beliau menegaskan dirinya mahupun Setiausaha DUN Sarawak, Pele Peter Tinggom tidak menerima sebarang makluman daripada Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Joh Sikie Tayai berhubung pembentangan rang undang-undang untuk meminda ordinan itu.
“Di bawah mana-mana notis perintah tetap diperlukan, notis tersebut hendaklah dihantar kepada setiausaha secara bertulis pada waktu pejabat biasa dan peraturan tetap 24(2) yang berbunyi setiap notis tersebut hendaklah ditandatangani.
“Tiada rang undang-undang untuk meminda Ordinan Mahkamah Anak Negeri pada persidangan yang akan datang dan keperluan untuk membincangkan dan menghuraikan kandungannya, oleh itu ia tidak timbul, “ jelasnya.
Penjelasan itu merupakan maklum balas kepada laporan berita oleh sebuah akhbar tempatan Sarawak sebelum ini yang melaporkan Timbalan Menteri Belia dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu yang menyebut bahawa RUU untuk meminda ordinan mahkamah anak negeri akan menjadi antara RUU yang akan dibentangkan dalam sidang DUN kali. – TVS