Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Fatimah Abdullah menunjukkan lokasi tadika terlibat ketika sidang media. Foto: TVS.

5 tadika di kawasan Apoh/Tutoh dinaik taraf kepada Tadika SeDidik Penan

MIRI, 13 Mei: Lima tadika di bawah Program Pendidikan Komuniti (Penan) Kawasan Apoh/Tutoh di sini kini dinaik taraf sebagai Tadika SeDidik Penan, kata Dato Sri Fatimah Abdullah.

Menurut Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti itu tadika terlibat berada di Ba’ Selulong, Long Kawa, Long Leng, Long Kerangan dan Long Jenalong.

Fatimah memberitahu projek tersebut merupakan projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di bawah PETRONAS melalui kementeriannya.

Beliau mendedahkan terdapat 32 pelajar telah berdaftar di kelima-lima tadika iaitu lima di Ba’ Selulong, tujuh masing-masing di Long Kawa, Long Kerangan dan Long Jenalong serta enam belajar di Long Leng pada tahun ini.

“Pada awalnya konsep yang kita persetujui ialah pusat pembelajaran berasaskan komuniti untuk komuniti Penan di kawasan Apoh/Tutoh. Bila kita majukan konsep ini kepada pihak PETRONAS untuk jadikan sebagai projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), mereka bersetuju.

“Peruntukan diberikan sebanyak RM2.75 juta kepada kerajaan negeri melalui kementerian kita mulai tahun 2015. Pembinaan bangunan melibatkan 5 tadika iaitu di Ba’ Selulong, Long Kawa, Long Leng, Long Kerangan dan Long Jenalong. Ada 5 buah kesemuanya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Sidang Media Mesyuarat Jawatankuasa Induk Majlis Perasmian Tadika Penan Kawasan Apoh/Tutoh di Pejabat Residen Miri pada Jumaat.

Fatimah berkata tenaga pengajar SeDidik di kelima-lima tadika ini juga akan dilatih supaya mereka memiliki sekurang-kurangnya Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak menjelang tahun 2025.

Hal ini ujarnya merupakan sebahagian aspirasi kementerian supaya wujudnya guru dalam kalangan orang Penan yang mempunyai diploma tersebut sekali gus menjadi tenaga pengajar yang berkualiti dan komitmen tinggi.

Dalam pada itu, Fatimah menyatakan selain memastikan kanak-kanak mempunyai akses untuk pendidikan awal di kawasan pedalaman, terdapat juga perbincangan untuk membawa program-program lain bagi menambah nilai komuniti Apoh/Tutoh seperti literasi untuk orang dewasa, program kesihatan, pertanian, pembasmian kemiskinan dan aktiviti kemahiran.

Majlis Perasmian Tadika SeDidik Penan di Kawasan Apoh/Tutoh Miri bakal dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 4 Julai depan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan