Kuartet dibarisi juara 400m Sukan SEA 2023, Umar Osman, Abdul Wafiy Roslan, Muhammad Firdaus Mohamad Zemi dan S. Tarshan merekodkan masa tiga minit dan 08.82 saat (s) untuk merangkul gangsa, sekali gus menyamai pencapaian Malaysia yang kali terakhir memenangi pingat acara tersebut pada edisi 2013 di Myanmar.
Aksi pada hari terakhir olahraga di Stadium Nasional Morodok Techo menyaksikan kuartet Filipina menguasai acara tersebut dengan catatan 3:07.22s manakala Thailand pula menggondol perak dengan 3:07.23s.
Umar ketika ditemui pemberita Malaysia selepas lariannya, gembira dapat membantu rakan-rakannya menggenggam pingat selepas beliau meraih emas serta memecahkan rekod kebangsaan 400m hampir 22 tahun oleh Mohd Zaiful Zainal Abidin, 46.41s di Brunei pada Julai 2001 dengan catatan baharu, 46.34s.
“Larian hari ini kurang baik, saya dapat lihat dua peserta di depan lebih laju dari saya dan makin jauh sehinggakan berasa letih namun saya tak menyerah (sehingga ke garisan penamat) walau pelari belakang cuba mengejar saya,” katanya.
Beliau juga yakin kuartet yang baru dibentuk sejak sebulan lepas ini mampu menggegarkan Sukan SEA 2025 di Bangkok, sekiranya diberikan pendedahan dan ruang secukupnya untuk mereka membina keserasian yang lebih mantap.
Selepas sekadar menduduki tempat ketujuh pada final 400m di sini, Abdul Wafiy ternyata gembira dapat menebus kembali kegagalannya menaiki podium dengan menghadiahkan pingat gangsa buat negara manakala Tarshan pula berasa bangga meraih pingat pada penampilan sulungnya di temasya sukan dwitahunan tersebut.
Dalam pada itu, kuartet 4x400m wanita pula dibarisi Chelsea Cassiopea Evali Bopulas, Mandy Goh Li, Nurul Aliah Maisarah dan juara 400m wanita, Shereen Samson Vallabouy, terlepas peluang meraih sebarang pingat selepas menduduki tempat keempat yang juga terakhir menerusi catatan 3:39.89s.
Vietnam menjuarai saingan tersebut dengan catatan 3:33.05s, diikuti Filipina untuk perak (3:37.75s) dan Thailand menyambar gangsa (3:39.29s).
Bagi saingan padang, Mohamad Eizlan Dahalan merangkul gangsa acara lompat tinggi lelaki dengan catatan 2.15m.
Bukan sahaja memenangi emas, wakil Thailand, Tawan Kaeodam mencuri tumpuan apabila meleburkan rekod temasya setinggi 2.24m dikongsi bersama tiga jaguh negara, Loo Kum Zee (edisi 1995) dan Nauraj Sigh Randhawa serta Lee Hup Wei (edisi 2017) dengan catatan baharu, 2.27m.
Atlet Vietnam, Duc Anh Vu memperoleh perak selepas merekodkan 2.17m. -TVS