KUCHING, 12 Mei: Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC) menjadi tulang belakang dalam menyokong usaha Kerajaan Sarawak untuk memperkenalkan teknologi berteraskan alga sebagai sumber ekonomi baharu negeri.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Yeo Tiong Chia berkata SBC menawarkan pelbagai perkhidmatan signifikan untuk dimanfaatkan dalam usaha memastikan kemajuan industri tersebut.
Dari sudut tenaga mahir katanya, SBC bersedia untuk menyediakan tenaga kerja yang berkemahiran dan berkelayakan tinggi.
“SBC menawarkan penyelidik yang berkelayakan dan tenaga kerja yang mahir untuk membantu dengan kejayaan penanaman dan pengeluaran biojisim mikroalga berkualiti tinggi,” katanya dalam satu kenyataan ketika dihubungi TVS, hari ini.
Memetik Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, industri itu bakal mewujudkan sehingga 5,000 peluang pekerjaan baharu apabila sektor itu diperkembang kelak.
Abang Johari sebelum ini memaklumkan loji jana kuasa tenaga hijau berasaskan alga yang dibina di Sejingkat akan diperbesar kepada 2,000 hektar sekiranya berdaya maju secara komersial.
Dalam pada itu, SBC juga berkepentingan dalam menawarkan perkhidmatan dan lokasi penyelidikan kepada pemain-pemain industri untuk menjalankan kajian mereka dalam skala yang besar.
“Pemain industri yang berminat untuk menggunakan mikroalga sebagai sebahagian daripada bio-strategi perniagaan mereka boleh bekerjasama dengan SBC.
“SBC mempunyai makmal yang menyokong kajian mereka berkaitan alga untuk pengeluaran berskala industri, juga perkhidmatan penyelidikan lain,” jelasnya.
Abang Johari juga mengumumkan SBC menjadi pusat penyimpanan kepada sekurang-kurangnya 600 strain pelbagai spesies alga.
Sarawak mengumumkan keyakinannya dalam mengeluarkan sekitar 45 tan bahan api penerbangan mampan (SAF) untuk kegunaan pesawat dengan penubuhan loji jana kuasa tenaga hijau, pada Rabu.
Industri itu dijangka bakal memberi pendapatan yang lumayan kepada negeri ini selepas SAF dipasarkan secara komersial. -TVS