KUCHING, 12 Mei: Anak-anak daripada golongan miskin tegar di sekitar Kuching akan berpeluang menikmati akses pendidikan mereka menerusi Program Permata Synergy di bawah Senari Synergy.
Pengarah Urusan Kumpulan Senari Synergy, Jefri Ahmad Tambi berkata program tersebut melibatkan 10 orang kanak-kanak bagi setiap kumpulan yang berusia antara lima hingga 12 tahun.
“Kita melihat kepada kanak-kanak daripada golongan B40, kanak-kanak yang ditawarkan, yang kematian sama ada ibu atau bapanya dan juga ibu bapa kanak-kanak yang tiada pendapatan.
“Kita bantu anak-anak ini dengan memberi bantuan kewangan setiap bulan dan kita juga berikan kelas-kelas tutorial terutamanya subjek Sains, Matematik, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Fardu Ain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, di sini hari ini.
Kunjungan hormat itu turut menyaksikan Senari Synergy telah menyerahkan zakat bernilai RM220,000 kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) sebagai antara sumbangan daripada Senari Synergy kepada TBS.
Sebahagian daripada wang itu juga katanya, akan digunakan untuk melaksanakan Program Permata Synergy.
“Kita sudah mula melaksanakan program ini dari tahun 2016 lagi.
“Sekarang kita ambil masuk enam kanak-kanak baharu bagi mencukupkan bilangan 10 orang bagi satu kumpulan,” jelasnya.
Senari Synergy Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat pemegang pelaburan yang telah diperbadankan pada 29 Julai 2010 yang menumpukan kepada industri berkaitan minyak dan gas petroleum serta perniagaan minyak sawit.
Pemegang saham ialah Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS), Yayasan Sarawak dan Assar Industri Sdn Bhd. -TVS