Sebagai pewarta dan perakam kepada peristiwa penting yang berlaku di dalam mahu pun luar negara, pelbagai risiko dan situasi mencabar seperti bencana, pergolakan dan peperangan terpaksa ditempuh di lapangan demi menyampaikan informasi terkini kepada pembaca dan penonton.
Itulah asam garam kehidupan sebagai pengamal media sebenar dan yang membezakannya dengan ‘wartawan segera’ yang ketika ini banyak muncul di media sosial, bak cendawan selepas hujan.
Bagi Koordinator Operasi Editorial Selangor Journal, Iskandar Alang Bendahara, 47, bergelar wartawan bukanlah satu perkara yang mudah kerana ia memerlukan hati dan mental yang cekal untuk menyelesaikan setiap tugasan yang diamanahkan walaupun kadangkala nyawa menjadi taruhan.
“Sepanjang 19 tahun jadi wartawan, pengalaman membuat liputan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza anjuran Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) serta turut melibatkan kerjasama negara India, Ireland dan Kanada pada Mei 2011, adalah antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan.
“Dalam usaha untuk menyempurnakan misi itu, Kapal MV Finch of Rachel Corrie yang kami naiki terpaksa menyamar sebagai bot nelayan dengan lampu terpaksa dimatikan, sistem AIS (automatic identification system) juga ditutup dan kedudukan bulan dikaji bagi mengelakkan kapal dikesan musuh.
“Bagaimanapun sebaik sahaja memasuki zon keselamatan Palestin, kapal MV Finch yang saya naiki bersama 11 lagi kru kapal yang terdiri daripada aktivis antiperang dan wartawan, tiba-tiba diserang menggunakan mesingan oleh rejim Israel,” katanya.
Beliau yang ketika itu bertugas sebagai wartawan di meja politik News Strait Times (NST) berkata keadaan menjadi cemas apabila tembakan yang dilepaskan itu hampir mengenai seorang daripada kru kapal menyebabkan mereka terpaksa berselindung untuk mengelakkan daripada terkorban.
Menurutnya hanya doa dan tawakal yang mampu dilakukan ketika itu sebelum berjaya diselamatkan oleh tentera Mesir dan berhenti di pelabuhan El-Arish, Mesir untuk meneruskan misi.
Iskandar yang lebih dikenali sebagai Alang dalam kalangan rakan wartawan menyifatkan operasi itu berjaya kerana mesej tentang kekejaman rejim Israel dapat dilaporkan dan ia dibuktikan apabila tentera rejim itu sanggup menghalang bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.
Sementara itu, Wartawan Foto Bernama Azman Firdaus Azizan juga pernah berhadapan detik cemas semasa melakukan liputan berita Operasi Astute pada 2006, berikutan pergolakan yang berlaku di Timor Leste ketika itu.
Operasi Astute merupakan operasi ketenteraan yang dirancang oleh Australia dengan turut disertai Malaysia bagi tujuan mengembalikan kestabilan di Timor Leste dengan negara telah menghantar pasukan komando daripada Briged Paratrooper ke-10 di bawah Kolonel Ismeth Nayan Ismail.
Menurut Azman sepanjang keberadaannya selama lebih dua minggu di kawasan bergolak itu, kebimbangan terhadap risiko serangan hendap oleh pihak pemberontak menghantui dirinya berikutan senjata yang digunakan adalah panah yang tidak mempunyai sebarang bunyi.
“Atas faktor ini, baju kalis peluru perlu dipakai setiap masa. Baju kalis peluru itu pula sangat berat kerana terdapat plat besi tebal di dalamnya, berbeza dengan vest kalis peluru,” katanya.
Bagaimanapun ia bukan halangan untuk menyempurnakan tugas untuk merakam detik yang menarik serta melaporkan pergolakan yang berlaku di kawasan itu sambil menyifatkan ia satu pengalaman berharga yang tidak selalu diperoleh oleh semua pengamal media.
Mengulas mengenai Hari Wartawan Nasional (HAWANA) pada tahun ini, Azman berkata sambutan HAWANA dilihat cukup signifikan khususnya dalam menghargai pengorbanan dan tanggungjawab pengamal media.
“Saya harapkan wartawan generasi baharu lebih berketerampilan dalam menyahut cabaran untuk melakukan liputan isu besar, ambil peluang yang diberikan ini,” katanya. – TVS