Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dr. Abdul Rahman (2 dari kanan) melihat gambaran kawasan yang bakal dibangunkan tiang bendera bersama Dato Sri Kho Kak Beng (kanan) dan Datu Junaidi Reduan (kiri). Foto: TVS

Pembinaan tiang bendera tertinggi negara mendahului jadual, siap November ini – Dr Abdul Rahman

KUCHING, 12 Mei: Progres projek pembinaan tiang bendera tertinggi negara kini mendahului 7.02 peratus lebih awal daripada tempoh jadual yang ditetapkan dan dijangka siap penghujung November ini.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata kerja pembinaan salah satu ikonik baharu Kuching itu berjalan lancar serta dilaporkan 25.2 peratus telahpun siap.

Dr Abdul Rahman menambah tapak tiang bendera gergasi yang ditetapkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg itu bakal mengibarkan bendera Sarawak terbesar bersaiz 25 meter kali 12.5 meter bersempena sambutan perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka pada tahun ini.

Gambaran ilustrasi tiang dan bendera Sarawak berlatarbelakangkan DUN. Foto: TVS

“Tiang bendera ini akan menjadi lambang kedaulatan dan patriotisme rakyat negeri ini ekoran bendera Sarawak yang terbesar setakat ini akan sentiasa berkibar dan ia akan dapat dilihat oleh semua kita, rakyat Sarawak.

“Selain menjadi mercu tanda terbaharu negeri Sarawak, kawasan ini juga akan mempunyai tujuh hingga lapan tarikan lain untuk dijadikan kawasan pelancongan,” katanya sambil mengakui lokasi tiang bendera terbabit berada di kawasan yang strategik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai itu berkata demikian pada satu sidang media di sini, pada Jumaat.

Tedahulu Dr. Abdul Rahman mengadakan lawatan ke tapas pembinaan tiang bendera berkenaan yang terletak berhampiran Fort Margherita Petra Jaya.

Turut mengiringi beliau, Datuk Bandar Kuching Utara Datu Junaidi Reduan dan wakil kontraktor, Pengerusi Eksekutif KKB Enginering Berhad Dato Sri Kho Kak Beng.

Dalam pada itu, beliau optimis tiang bendera setinggi 99 meter dengan berat melebihi 120 metrik tan itu bakal menjadi tarikan terbaharu negeri Sarawak.

“Turut dibina sebuah kawasan dataran bagi perarakan atau acara bertaraf nasional dan antarabangsa anjuran kerajaan negeri,” ujarnya.

Selain itu katanya para pelancong berpeluang untuk datang ke tiang bendera terbabit daripada pelbagai arah iaitu menggunakan bot atau berjalan kaki menyeberangi Jambatan Darul Hana atau Kampung Boyan mahupun menggunakan kereta dari Taman Botani.

“Tiang dan bendera Sarawak yang akan dikibarkan nanti dapat dilihat dari pelbagai sudut juga dan ia akan berlatarbelakangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak,” jelasnya.

Projek pembinaan tiang bendera ini telah bermula pada 13 Mac lalu oleh kontraktor dilantik KKB Enginering Berhad dengan seliaan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan